Bajet 2023: Aset baharu, selenggara aset sedia ada ATM perlu jadi fokus

Bernama
Oktober 1, 2022 11:50 MYT
Peratusan besar Bajet Pertahanan 2023 juga perlu memberi perhatian terhadap pengekalan tahap optimum operasi aset sedia ada. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Beberapa perolehan baharu aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu disegerakan menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Okt ini bagi memperkukuh jaminan keselamatan ekonomi dan kedaulatan negara.
Pakar pertahanan dan keselamatan antarabangsa Prof Adam Leong Kok Wey berkata meskipun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika ini berdepan isu kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS), namun perolehan baharu Kapal Misi Pesisir (LMS) yang lebih kecil adalah kritikal bagi membolehkan TLDM mengawal keselamatan ekonomi maritim negara seperti di Laut Cina Selatan dengan lebih berkesan.
"Isu keselamatan maritim amat kritikal untuk negara ketika ini terutamanya di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), Laut China Selatan. Kawasan EEZ kita besar... untuk mengawal semua kawasan lebih-lebih lagi apabila berlaku tuntutan bertindih di beberapa kawasan termasuklah oleh kuasa besar China, kita memerlukan tambahan aset.
"EEZ sesebuah negara memberikan hak penerokaan dan penggunaan sumber-sumber lautan. Malangnya, banyak nelayan dari negara luar telah menceroboh kawasan berkenaan. Kapal pengawal pantai dan kapal tentera laut dari luar negara juga dilaporkan sering berlayar di sana dengan motif yang mencurigakan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata ketika ini TLDM beroperasi menggunakan empat LMS namun difahamkam Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang ATM telah mendaftarkan projek perolehan LMS yang mampu menjalankan pelbagai misi rondaan, tinjauan dan pengawasan kawasan maritim dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Nada sama turut ditekankan Adam terhadap perolehan 18 pesawat tempur ringan (LCA) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berharap tidak berlaku kelewatan pembeliannya oleh Kementerian Pertahanan dan dilaporkan hasrat itu kini berada di peringkat pemeriksaan fizikal.
"LCA perlu dimiliki TUDM untuk melatih juruterbang jet pejuang dalam penerbangan supersonik dan taktik peperangan udara. Berbanding pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) seperti F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM, kos operasi LCA juga jauh lebih murah.
"Ia juga sebagai langkah awal untuk mempersiapkan juruterbang dengan kemahiran dan pengalaman secukupnya sebelum mengendalikan aset-aset MRCA pada masa hadapan yang akan diperkasakan menerusi Pelan Perancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP55," katanya.
Mengimbau keupayaan pesawat subsonik LCA Hawk 208 memintas penerbangan provokatif 16 pesawat pengangkut tentera China jenis IL-76 dan Xian Y-20 yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia dan menghampiri ruang udara negara pada 31 Mei lepas, Adam berkata ia membuktikan perolehan LCA baharu ini adalah suatu yang wajar.
"Pesawat LCA mempunyai dwifungsi kerana ia boleh digunakan untuk tujuan latihan dan pada masa sama membuat rondaan serta memintas sebarang risiko ancaman pencerobohan tentera udara luar.
"Justeru, bagi mendukung polisi pertahanan negara yang bertonggakkan strategi cegah rintang berpadu maka wajarlah ATM disiapkan dengan aset yang mantap dan canggih. Ia juga akan memastikan kedaulatan dan kepentingan negara terpelihara," katanya yang juga Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sementara itu, Adam juga berkata peratusan besar Bajet Pertahanan 2023 juga perlu memberi perhatian terhadap pengekalan tahap optimum operasi aset sedia ada menerusi peruntukkan untuk kerja selenggara dan baik pulih.
Sependapat dengan cadangan itu, penganalisis pertahanan dan geostrategik Muhammad Fuad Mat Noor berpendapat pelan tindakan Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi tiga prinsip dan 5 tonggak (3P+5T) adalah contoh yang terbaik.
"Penekanan kepada tonggak pertama TDM iaitu meningkatkan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi, siber dan logistik berpandukan penjajaran daripada aset-aset sedia ada jelas menunjukkan kepentingan mengekalkan tahap kebolehgunaan aset semasa di tahap yang optimum.
"Tidak dinafikan keperluan untuk ATM melakukan perolehan aset-aset baharu namun dengan kelewatan projek LCS yang terus disebut-sebut membuktikan fokus juga perlu diberi untuk baik pulih dan selenggara aset semasa supaya kekal berfungsi dengan baik sehingga aset baharu sampai," katanya.
Menurutnya aset sedia ada perlu dipastikan supaya mampu terus terbang dan belayar sehingga penjajaran semula CAP55 dan Program Transformasi 15 To 5 (15-5) TLDM yang salah satunya membabitkan LCS boleh dibuat.
"Kekalkan apa yang wujud dan walaupun 61 peratus aset TLDM ketika ini telah menjangkau had usia tetapi keupayaan KD Lekir melancarkan misil EXOCET MM40 tepat ke sasaran di perairan Hawaii, Amerika Syarikat pada 12 Julai lepas adalah bukti aset lama yang ditambah baik boleh berfungsi dengan efektif.
"Meriam 105mm LG1 MK III milik TDM juga masih mempunyai keupayaan taktikal yang baik walaupun sudah usang. Jadi, tidak kira baik aset untuk darat, laut atau udara, jika terus diselenggara dengan baik ia akan terus berfungsi. Lagi pula itu sahaja yang kita mampu dan ada," katanya.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #Bajet 2023 #Adam Leong Kok Wey #TLDM
;