Bajet 2022: SKMM sambut baik perluas agenda pendigitalan negara
Ehsan A Marisah
Disember 23, 2021 12:33 MYT
Disember 23, 2021 12:33 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik usaha kerajaan untuk memperkasakan dan memperluas agenda pendigitalan negara pada Bajet 2022.
Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, usaha tersebut merupakan langkah tepat untuk meningkatkan amalan digital dalam kalangan rakyat.
Katanya, pihaknya komited mengutamakan kepada menaik taraf prasarana dan infrastruktur jalur lebar serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar dan miskin bandar.
“Satu pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak kami adalah menubuhkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang menyediakan masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
“Selain itu, ini juga bertujuan menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam program untuk mengasah kemahiran dalam peniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.
“Setakat ini, sebanyak 873 PEDi telah dibangunkan dan diguna pakai dan 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama 2022, sementara sebanyak 173 PEDi akan ditubuhkan dan dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada penghujung Disember 2022,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Dalam pada itu, Fadhlullah Suhaimi berkata, penubuhan PEDi akan menggalakkan pelbagai program keusahawanan diketengahkan bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan secara dalam talian.
“Dari segi sasarannya, kami ingin membantu dan mendorong 800,000 usahawan kecil beralih kepada pendigitalan menjelang tahun 2025.
“Bagaimanapun, setakat ini kami telah membantu 6,895 usahawan kecil sama ada mereka dari luar bandar dan miskin bandar, serta penjualan dalam talian mencapai kira-kira RM10 juta. Ini baharu di peringkat permulaan sahaja dan dijangka akan lebih meluas lagi,” katanya.
Beliau turut berpandangan agar inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) wajar diteruskan kerana dilihat memberikan impak baik dan meningkatkan cara hidup rakyat terutama dalam aspek pendigitalan.