Bajet 2022: Polisi 'pukul rata' tidak sesuai bagi PKS berbeza keperluan - Reza Razali

Firdaus Azil
Oktober 19, 2021 14:37 MYT
Setiap PKS mempunyai segmen yang berbeza, dan keperluan mereka juga berbeza bagi merealisasikan digitalisasi perniagaan yang diharapkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelbagai program dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan sejak 18 bulan lepas, dalam usaha memudahkan dan mempercepatkan adaptasi digitalisasi dalam kalangan pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Namun, bagi pengasas Terato Tech, Reza Razali, program yang direncanakan itu bersifat 'one size fits all', dan merangkumkan satu polisi yang umum untuk pelbagai segmen dalam kategori perniagaan tersebut.
Jelas Reza lagi, setiap PKS mempunyai segmen yang berbeza, dan keperluan mereka juga berbeza bagi merealisasikan digitalisasi perniagaan yang diharapkan.
“Kita perlu lihat ada mereka baru nak mula, mungkin keperluan berbeza, mereka yang revival nak bounce back kembali, keperluan mereka berbeza, dan mereka yang pada growth stage, keperluan mereka juga berbeza.
“Tetapi jika dilihat solusi kita cuba berikan kepada SME, melalui pakej yang terlalu bersikap ‘one size fits all,’ bagi saya, ia perlu diperhalusi,
“Kita perlu melihat pada segmen yang masih berinteraksi dengan kerajaan, perlu memahami keperluan bagaimana yang mereka mahukan. Kerana one size fits all ni selalunya, mungkin beri keuntungan kepada ramai, tetapi keperluan lebih penting terlepas juga," katanya lagi.
Reza berkata, Bajet 2022 yang bakal dibentang hujung bulan ini, perlu memperhalusi setiap keperluan yang berbeza, bagi mengoptimakan keberkesanan untuk mendigitalisasi PKS sedia ada.
Selain itu, beliau berkata, biarpun COVID-19 bakal menjadi endemik, namun ia juga telah mengubah landskap perniagaan, terutamanya keperluan untuk PKS lebih bergantung kepada teknologi dan digitalisasi.
Katanya lagi, ini merupakan peluang untuk kerajaan memastikan lebih banyak bakat tempatan terlibat dalam penghasilan aplikasi berkaitan, sekali gus mengelakkan kos pelaburan aplikasi dan perisian dari luar yang tinggi.
"Katalah kita keluarkan dana berbillion ringgit. Tetapi jika 95% daripada bajet digunakan untuk membeli perisian dari luar, impaknya terhadap pembangunan bakat tempatan mungkin kurang.
“Dan secara tidak langsung, kita akan kehilangan peluang untuk mewujudkan kapten industri tempatan, yang sebenarnya mempunyai potensi luas untuk menjana impak positif kepada negara," katanya lagi.
#bajet 2022 #digital PKS #Reza Razali #Terato Tech
;