Bajet 2022: PH harap cadangan dipertimbang kerajaan

Afiezy Azaman
September 25, 2021 11:33 MYT
Jawatankuasa Ekonomi PH berharap cadangan pembangkang kepada Menteri Kewangan berkenaan Bajet 2022 akan diberi pertimbangan penuh oleh kerajaan. -Facebook Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (PH) berharap cadangan pembangkang kepada Menteri Kewangan berkenaan Bajet 2022 akan diberi pertimbangan penuh oleh kerajaan.
Menurut PH dalam satu kenyataan, cadangan yang telah dibentangkan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 21 September lalu bersesuaian dengan kerangka kerja 'Pemulihan, Ketahanan dan Pembaharuan' Bajet 2022.
PH berkata, pihaknya telah diberi penerangan oleh Tengku Zafrul berkaitan belanjawan dan terdapat tiga lagi pertemuan bagi membincangkan berkenaan Bajet 2022 yang akan dibentangkan Oktober nanti.
Katanya, PH turut berkongsi cadangan Bajet merangkumi perincian perbelanjaan yang dipersetujui sebanyak RM45 bilion seperti termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Kerajaan Persekutuan dan PH.
"Ini merangkumi RM4 bilion untuk sektor kesihatan untuk memerangi wabak COVID-19, termasuk subsidi ujian saringan COVID-19 kendiri dan melaksanakan tindakan 'Cari, Uji, Kesan dan Sokong serta Vaksinasi (FTTIS + V).
"Antara lain, RM30 bilion geran dan subsidi untuk sektor ekonomi; RM6 bilion insentif pengambilan pekerja dalam bentuk program Malaysian@Work yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan dalam Bajet 2020 dan sekurang-kurangnya RM5 bilion untuk isi rumah dalam bentuk pembayaran kesejahteraan.
"Kami juga meminta anggaran RM2 bilion untuk menyediakan pinjaman mudah hingga RM50,000 untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana melalui BSN agar diberikan kepada perniagaan yang terjejas teruk oleh wabak itu, termasuk F&B, perjalanan dan pelancongan serta runcit," katanya.
Ahli Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan turut mencadangkan perlindungan sosial yang lebih baik melalui sumbangan i-Suri dan i-Saraan yang diperbaiki, pengembangan program MySalam untuk M40, subsidi penjagaan anak bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.
"Langkah lain tertumpu pada pelaburan dalam ekonomi hijau dan digital, dengan pemberian dan subsidi untuk mempercepat pertumbuhan di sektor-sektor ini.
"Kami juga meminta kerajaan untuk membantu syarikat tempatan yang berjaya menjadi juara serantau dan global, sementara pada masa yang sama, memberikan insentif yang lebih besar untuk menarik syarikat global utama untuk menubuhkan operasi di Malaysia.
"Kami juga telah meminta agar Belanjawan memberikan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, dengan melabur lebih banyak dalam kemudahan kesihatan, meningkatkan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Seksyen 112D Perlembagaan Persekutuan dan juga untuk memastikan bahawa Malaysia Timur akan menerima sekurang-kurangnya 30 peratus daripada anggaran pembangunan," ujarnya.
PH turut menyatakan perbincangan bersama Tengku Zafrul termasuk keperluan pematuhan dan pelaporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta anggaran responsif gender.
Selain Tengku Zafrul, pertemuan itu turut melibatkan Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah; bersama sembilan wakil PH diketuai Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Antara yang hadir termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad: Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; ADUN Pandan Indah, Ir Izham Hashim; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen; dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee.
#Pakatan Harapan #Menteri Kewangan #Memorandum Persefahaman #Bajet 2020
;