Bajet 2022: Peruntukan untuk memulihkan sektor pendidikan

Astro Awani
November 1, 2021 22:32 MYT
Anuar berkata tiada peruntukan khas untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara seperti melatih guru-guru dalam pendidikan menggunakan teknologi digital. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Peruntukan yang diberikan kepada sektor pendidikan menerusi Bajet 2022 tidak dapat mentransformasikan pendidikan namun lebih kepada memulihkan sistem pendidikan negara.
Menurut Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti UKM, Anuar Ahmad, perkara itu dapat dilihat menerusi pemberian peruntukan terus kepada ibu bapa.
Selain itu, beliau menjelaskan menerusi Bajet 2022 juga terdapat peruntukan besar bagi penyelengaraan sekolah.
"Kita tidak dapat melihat satu peruntukan khusus bagi tujuan pendidikan jangka panjang, tetapi kita faham Bajet 2022 untuk pendidikan lebih kepada untuk memulihkan sistem pendidikan negara.
"Is seperti terdapat peruntukan yang mempunyai sedikit wang tambahan untuk persiapan anak-anak... guru-guru juga dihargai dengan sedikit peruntukan.
"Jadi pada saya, sektor pendidikan pada 2022 ia tidak dapat peruntukan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara tetapi kita dapat lihat kepada usaha memulihkan sistem pendidikan negara selepas pandemik ini dan 20 bulan sekolah ditutup," katanya.
Anuar berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membicarakan tentang Bajet 2022 dalam sektor pendidikan, malam ini.
Beliau berpendapat, terdapat insentif-insentif yang telah disediakan oleh kerajaan namun tidak terdapat peruntukan khas untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara seperti melatih guru-guru dalam pendidikan menggunakan teknologi digital.
"Misalnya adakah kita mempunyai peruntukan khas untuk melatih guru-guru dalam pendidikan menggunakan digital teknologi?.
"Begitu juga prasarana sekolah, kita tahu kerajaan memperuntukan RM3.5 bilion untuk memperkasakan Jendela tetapi untuk tujuan pendidikan itu kita tidak nampak satu program khas bagaimana sistem pendidikan dapat manfaat langsung dari Jendela ini," katanya lagi.
Anuar juga menjelaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menentukan kumpulan sasar manakah yang harus mendapat bantuan untuk meningkatkan kembali pendidikan mereka.
"Kajian-kajian yang dilakukan oleh rakan-rakan akademik dan kajian diluar negara adalah ada tiga kumpulan yang terkesan teruk iaitu kumpulan pelajar luar bandar yang tidak dapat akses Internet, kumpulan pelajar berkeperluan khas yang mana mereka ini tertinggal ketika PdPR, kumpulan pelajar di bandar B40 dan B60.
"Jadi tiga kumpulan sasar dan dalam bajet itu kita lihat beberapa usaha yang dilakukan oleh kementerian kewangan," katanya.
#bajet 2022 #pendidikan #transformasi #Dr Anuar Ahmad
;