Bajet 2022: Peruntukan untuk KPT mampu lonjak pendidikan tinggi

Astro Awani
November 1, 2021 21:08 MYT
Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan bajet itu pelbagai inisiatif boleh dijayakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) optimis peruntukan yang diberikan kerajaan untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mampu melonjakkan pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan bajet itu pelbagai inisiatif boleh dijayakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi Malaysia.
Beliau berkata, usaha itu sekali gus mampu menarik minat pelajar dari luar negara untuk menyambung pengajian di Malaysia selaras dengan hasrat KPT untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa ke negara ini.
"Inisiatif itu akan mempercepatkan lagi usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
"Jumlah peruntukan berkenaan juga akan membolehkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk mengorak kecemerlangan seterusnya bangkit daripada kesan pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peruntukan yag diterima KPT pada Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.
Dalam Bajet 2022 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera', KPT telah diperuntukkan sebanyak RM14.5 bilion, meliputi perbelanjaan mengurus berjumlah RM11.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM3 bilion.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, menerusi peruntukan diterima juga bakal membolehkan IPT untuk menawarkan program yang terkini, relevan serta futuristik selain memperkasa bidang penyelidikan.
Pada masa sama, katanya, peruntukan itu turut mampu meningkatkan kreativiti dan menggalakkan inovasi dalam pedagogi di IPT.
"Diharapkan kepercayaan diberikan kerajaan ini dapat disambut dengan baik dan berusaha bersama-sama dengan KPT untuk melonjakkan lagi kualiti serta imej pendidikan tinggi negara seperti yang dihasratkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, baru-baru ini.
"MQA akan sentiasa membuka ruang kerjasama dengan pelbagai pihak serta memberi komitmen jitu untuk menjayakan hasrat KPT dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di persada nasional serta antarabangsa," katanya.
#bajet 2022 #pendidikan tinggi #MQA #Mohammad Shatar Sabran
;