Bajet 2022: Peruntukan bagi kesihatan mental perlu ditambah
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Oktober 27, 2021 10:12 MYT
Oktober 27, 2021 10:12 MYT
KUALA TERENGGANU: Kemerosotan kesihatan mental menyaksikan pertambahan kes kemurungan, tindakan ‘mengamuk’ kerana hilang kawalan diri dan kes bunuh diri yang dianggap sebagai ‘bom jangka sosial’ yang perlu ditangani segera.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, terdapat 468 kes bunuh diri dengan purata tiga kes sehari, berbanding 631 pada 2020 dan 609 pada 2019, iaitu purata dua kes sehari.
Sehubungan itu, saranan pelbagai pihak yang ditemui Astro AWANI agar peruntukan bagi program kesihatan mental dalam Bajet 2022 ditambah, berbanding RM24 juta yang disalurkan pada 2021, adalah realisitik.
Bagi pegawai psikologi kaunseling Noor Ajeerah Mohd Sable, 27 tahun, ia merupakan satu cabaran untuk mengubah stigma pandangan masyarakat terhadap penyakit mental.
"Masyarakat takut hendak dapatkan bantuan, takut untuk datang ke hospital sebab stigma itu sendiri yang mengatakan bahawa apabila ada sakit mental ataupun perlukan kaunseling, dikatakan gila, tak pandai urus diri, lemah iman dan sebagainya.
"Antara inisiatif yang mungkin boleh diperkasakan adalah dari segi psiko-pendidikan itu sendiri, iaitu kita pergi kepada masyarakat dan hapuskan stigma itu.
"Kedua adalah dari segi akses. Mungkin sekarang ini ada masyarakat ingin dapatkan bantuan tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana.
"Oleh itu, pelbagai kaedah dan cara perlu diambil untuk kita sampai kepada masyarakat dari segi dalam talian dan sebagainya," katanya.
Penjawat awam Roziah Abdul Kadir, 46 tahun, pula berkata, meskipun penyakit psikologi tidak dapat dikesan secara fizikal namun ia perlu diatasi daripada awal demi memastikan golongan belia kekal sihat dari segi mental.
“Perkhidmatan kesihatan mental perlu diperluaskan lagi, terutama di peringkat sekolah menengah, dan pelajar-institusi pengajian tinggi supaya isu masalah mental ini dapat ditangani dengan lebih mendalam lagi.
"Seperti yang kita hadapi sekarang, disebabkan COVID-19 sekarang ini, banyak masalah, terutamanya seperti isu bunuh diri dan tekanan perasaan," katanya yang merupakan seorang .
Sementara itu, pegawai psikologi kaunseling Nur Wajdyah Abdul Hakim, 25 tahun, berpendapat tugas membantu individu yang mempunyai masalah mental bukan sekadar dengan memberi nasihat tetapi perlu memahami situasi yang dihadapinya.
"Biasanya kita akan buat sesi kaunseling individu atau kelompok, bergantung kepada masalah kesihatan mental yang dialami individu itu.
"Jadi, kita akan tengok sekiranya mereka memerlukan bantuan dari segi kaunseling. Dan ini kita lihat kepada psiko-sosial mereka, kesihatan mental mereka.
"Kita akan beri 'supportive counselling', sama ada dari segi rutin harian atau pemikiran pesakit, untuk kita bantu dalam proses pemulihan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan Dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, peruntukan bagi kesihatan mental pada tahun ini dilihat lebih rendah berbanding tahun 2020 sedangkan perkhidmatan dalam bidang tersebut sangat tinggi.
Azrul berkata, impak COVID-19 turut memberi kesan kepada kesihatan mental, oleh itu peruntukan dalam Bajet 2022 perlu ditambah bagi rawatan, rundingan serta kesedaran bagi penyakit ini.