Bajet 2022: Orang ramai, peniaga kecil harap pengecualian cukai

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 27, 2021 19:18 MYT
Mohamad Yusof (atas, kiri); Azizol Kama (atas, kanan); Sooria Vilashani (bawah, kiri); dan Tong Meng (bawah, kanan) ditemui ketika tinjauan Astro AWANI di Ipoh, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Orang ramai, termasuk para peniaga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengecualian cukai pendapatan atau keuntungan syarikat ketika semua pihak terkesan dengan pandemik COVID-19.
Rata-rata pembayar cukai yang ditemui di Ipoh berpendapat, dalam tempoh sukar ini, kerajaan wajar membantu rakyat meringankan beban ditanggung mereka.
Mereka berharap, kerajaan akan mengumumkan langkah pengecualian cukai sedemikian dalam pembentangan Bajet 2022 Jumaat ini.
Pengurus Syarikat Pelancongan, Wong Tong Meng, berkata: "Perbelanjaan (untuk bertahan ketika) pandemik sudah berlarutan selama dua tahun terutama bagi membayar gaji staf.
"Syarikat kita pun susah mahu bayar semua cukai yang dikenakan. Jadi, tentang cukai, kalau kerajaan tak boleh beri pengecualian, setidak-tidaknya boleh kurangkan kadar atau peratus yang kena cukai.
"Semua orang susah sekarang, perniagaan pun baru nak mula, itupun belum pulih sepenuhnya. Lepas ini nak fikir macam-macam seperti pinjaman bank dan sebagainya," katanya.
Pengarah urusan syarikat swasta, Datuk Azizol Kama Abdul Aziz, berkata: "Saya berpendapat wajar jika difikirkan sistem percukaian yang bersasar, maknanya kepada mereka yang menjana pendapatan yang lebih di sepanjang COVID-19 ataupun pandemik ini.
"Mereka dikenakan cukai dan kepada yang tidak berada di dalam kategori ataupun industri tersebut, diberikan kelonggaran atau pelepasan cukai untuk sementara dalam usaha mereka memulihkan perniagaan masing-masing," katanya.
Pengusaha pusat kecantikan, N. Sooria Vilashani, berkata: "Dalam tempoh pandemik dua tahun ini, pendapatan kami terjejas. Walaupun terjejas, kami terpaksa membayar gaji-gaji pekerja kami.
"Pada padangan saya, kerajaan boleh fikirkan cara untuk mendapatkan hasil dengan mengenakan cukai durian runtuh misalnya. Dengan cara ini, hasil kerajaan masih dapat dikutip dan kami peniaga-peniaga yang kecil ini juga secara tak langsung dibantu dengan pengecualian atau pengurangan cukai," katanya.
Pengarah syarikat sajian, Mohamad Yusof Adam, berkata: "Saya rasa sejak lebih setahun lalu semua orang susah, walaupun ada pendapatan tetapi sebenarnya perbelanjaan meningkat sebab kita banyak duduk rumah, belanja dapur bertambah, bil api, bil elektrik... gaji pekerja kita kena tanggung.
"Keadaan sekarang ini baru kita mulakan semula perniagaan kita. Oleh itu wajar kalau cukai pendapatan dikecualikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (kerajaan). Ini dapat membantu perniagaan kita.
"Jadi kita nak pulihkan perniagaan kita. Lepas tu kalau perniagaan kita sudah stabl, kita akan bayar balik kepada LHDN," katanya.
#bajet 2022 #pengecualian cukai #suara rakyat #Peniaga kecil
;