Bajet 2022 mampu perkasa golongan wanita - Rina
Bernama
Oktober 30, 2021 04:15 MYT
Oktober 30, 2021 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan Bajet 2022 mampu memperkasa golongan wanita dan institusi kekeluargaan ketika pasca pandemik serta banyak memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pelaksanaan dan beberapa insentif yang diumumkan bagaimanapun perlu dipantau agar manfaatnya mampu disalurkan terus kepada rakyat.
"Jadi kalau ditanya mengenai Bajet 2022 selepas ini apa, sudah tentunya pelaksanaan. Pelaksanaan itu yang kita perlu pantau supaya ia sampai ke akar umbi dan dapat memberi manfaat kepada golongan wanita khususnya," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Talian Bebas Cukai Helpline FamilyCare@LPPKN di Kompleks Sukan Datuk Keramat di sini pada Sabtu.
Mengulas perincian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), beliau berkata bantuan yang sebelum ini diterima di bawah Bantuan Prihatian Rakyat sebanyak RM1,800 dinaikkan kepada RM2,000 manakala ibu dan bapa tunggal dengan tanggungan tiga anak atau lebih serta berpendapatan bulanan sehingga RM5,000 akan menerima tambahan RM500 iaitu kenaikan maksimum sehingga RM2,500.
"Untuk warga emas pula, ada penambahan RM300 dan golongan ini boleh terima bantuan sehingga RM2,300," katanya.
Menyentuh pemberian kit asas kebersihan diri kepada remaja wanita dari keluarga B40 dalam bajet itu, Rina berkata walaupun ia nampak kecil namun hasil kajian di bandar terutama Kuala Lumpur mendapati ia sangat diperlukan bagi mengelakkan mereka meminjam daripada rakan seperti sebelum ini.
"Jadi ini benda asas untuk wanita dan kita kira benda ini perlu diberi perhatian yang serius kerana itu semalam, Menteri Kewangan umumkan pemberian kit ini kepada 130,000 remaja wanita," katanya.
Mengulas program yang dilancarkan hari ini, beliau berkata Talian Bebas Cukai Helpline FamilyCare@LPPKN dilihat semakin diyakini dan merupakan alternatif terbaik berbanding media sosial bagi meluahkan sebarang bentuk masalah rumah tangga.
"Ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini, ada yang hilang pekerjaan, terjejas dari segi ekonomi dan yang paling penting, ramai juga yang terjejas dari segi emosi.
"Jadi diharapkan dengan adanya talian ini dapat membantu kes-kes rumah tangga dan juga pasangan tanpa perlu menunggu proses yang lama," katanya.
Sejumlah 533 kes rumah tangga antaranya melibatkan keganasan, penceraian, masalah komunikasi, perkahwinan dan anak telah direkodkan setakat semalam sejak talian itu beroperasi pada 27 Sept lepas.
-- BERNAMA