Bajet 2022: Kerajaan siap sedia lancar Model Pembangunan Belia 2030

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 30, 2021 16:54 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap sempena perasmian sambutan Hari Belia Negara 2021. - Facebook \ Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR : Bagi memastikah golongan belia di negara ini sentiasa berada dalam keadaan mampu bersaing dan mempunyai kepelbagaian kemahiran, satu program yang dinamakan Model Pembangunan Belia 2030 (MBPB) akan dilancarkan oleh kerajaan pada Mac 2022.
Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia akan dibangunkan berdasarkan kepada aspirasi dan suara anak muda untuk pemerkasaan belia bagi tempoh 10 tahun ke hadapan.
“Apabila dilaksanakan kelak, MBPB2030 ini bakal memberi manfaat kepada golongan belia termasuk dalam meningkatkan sosioekonomi melalui peluang dan penciptaan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran masa depan.
“Selain itu ia akan memperkukuhkan lagi sistem sokongan belia khususnya hubungan dengan keluarga, masyarakat dan agensi kerajaan dalam usaha melahirkan warganegara belia yang lebih yakin dan aktif selain berdaya tahan menghadapi cabaran," katanya ketika berucap merasmikan Hari Belia Kebangsaan 2021 bertemakan ‘Dekad ini Dekad Anda’ di ibu negara petang tadi.
Selain itu katanya, belia kerajaan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh golongan belia di negara ini.
Malah jelasnya, idea dan aspirasi yang dilontarkan sentiasa diutamakan sehingga mampu mengubah akta negara yang sedia ada sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa mengiktiraf golongan tersebut.
“1 Januari bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun. Sebenarnya bukan itu sahaja, bagi menunjukkan keyakinan kerajaan kepada kemampuan anak-anak muda dalam menentukan kepimpinan negara pada masa akan datang.
“Bukan sahaja undi 18 tahun yang kita pinda tetapi dalam pindaan tersebut umur calon pilihan raya pun bermula daripada 18 tahun ke atas,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama juga, jelas Perdana Menteri, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan lagi kadar pengangguran sedia ada dalam kalangan belia dengan menyediakan program-program serta terus memperkasakan sistem digital negara.
“Seiring itu, kerajaan menerusi KBS telah memperkenalkan Skim Perantisan Nasional bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia. Sehingga kini, sekitar 7,000 belia daripada lebih 11,000 yang menyertainya telah mendapat pekerjaan.
“Kerajaan akan terus merancakkan penyediaan infrastruktur, perkhidmatan digital dan pasaran kerjaya kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya warga belia. Inisiatif ini dikenal pasti berupaya merapatkan jurang digital dan merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi semasa," katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.
Perdana Menteri turut menaruh keyakinan bahawa dengan kemampuan yang dimiliki serta kematangan yang ditunjukan oleh belia di negara ini juga, hasrat untuk mewujudkan Masyarakat 5.0 yang selama ini diimpikan juga mampu dicapai sedikit masa lagi.
Untuk itu katanya, kerajaan bersama Kementerian Belia dan Sukan akan terus mempertingkatkan dan inisiatif yang mampu ditawarkan kepada belia.
#Belia #ekonomi #ismail sabri yaakob #KBS #Malaysia #model #pendidikan #Perdana Menteri #sukan
;