Bajet 2022: Harap kerajaan tumpu pemerkasaan digital - Pakar
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 19, 2021 15:01 MYT
Oktober 19, 2021 15:01 MYT
KUALA LUMPUR : Bajet 2022 yang bakal dibentangkan nanti diharapkan turut menumpukan perhatian kepada usaha mempertingkat keupayaan digital bagi memperkasa kepelbagaian sektor ekonomi di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital, Fabian Bigar, selain keperluan memperkukuh teknologi digital dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sektor awam juga haruslah berfungsi selari dengan keperluan semasa teknologi digital ketika ini.
“Kita tahu bajet tahun depan akan menumpukan kepada tiga agenda iaitu pemulihan, ketahanan dan pembaharuan untuk ekonomi negara.
"Namun kita juga berharap perlunya memberi tumpuan terhadap transformasi perkhidmatan awam termasuk pilihan pembayaran tunai misalnya, mempercepatkan perlaksanaan identiti digital, seperti tandatangan digital, bagi melicinkan proses sesuatu transaksi," jelasnya.
Tambahnya, tahap kemahiran penggunaan teknologi digital dalam kelompok masyarakat juga perlu ditingkatkan selain memperkasa keupayaan dalam aspek keselamatan siber yang perlu diberikan penekanan.
Fabian juga melihat kemahiran digital dalam kalangan pekerja dan masyarakat juga perlu dipertingkat sebagai salah satu usaha berterusan untuk menjadikan tenaga kerja di negara ini lebih berkualiti pada masa depan.
Penyediaan pekerja mahir dalam sektor digital juga jelasnya adalah satu keperluan penting ketika ini dan tuntutan terhadap penyediaan pekerja mahir perlu dilakukan dari peringkat awal.
“Ia perlu dilakukan pada peringkat persekolahan lagi dengan menyediakan pelbagai infrastruktur dan keperluan bagi tujuan mempersiapkan mereka untuk menjadi tenaga kerja pada masa akan datang,” jelasnya lagi.