Bajet 2018: TPM mahu ia diterjemahkan kepada rakyat

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 27, 2017 21:58 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas pembentangan Bajet 2018 di Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa Bajet 2018 yang dibentangkan hari ini oleh perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap Barisan Nasional (BN).
Justeru, beliau mahu peruntukan yang diberikan Kerajaan itu dilaksanakan dengan sempurna sekaligus memberi impak positif kepada rakyat.
"Kita kena lihat tindakan susulan yang akan dilakukan oleh kementerian, jabatan serta agensi. Kita perlu bekerjasama dan terjemahkan bajet ini sekaligus menunjukkan komitmen kita kepada rakyat.
"Kita perlu bekerja keras dan bijak dalam memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
KLIK UNTUK LIPUTAN LANJUT BAJET 2018
Beliau pada masa sama secara peribadi menyatakan keterujaannya dengan pengiktirafan diberikan Perdana Menteri, sebagai sahabat yang setia.
“Itu (pengiktirafan) melebihi dari bajet yang ada, pengiktirafan oleh seorang ketua kerajaan sebagai timbalannya dan sebagai sahabat lama yang bersama dengan beliau.. saya rasa amat dihargai,” katanya.
Beliau turut secara sinis mengakui Bajet 2018 adalah bajet pilihan raya.
Ia susulan reaksi beberapa pemimpin pembangkang yang menyifatkannya sebagai bajet pilihan raya.
"Wartawan: Datuk Seri, mereka (pembangkang) masih cakap ini adalah bajet pilihan raya?
"Ahmad Zahid: Betul, betul la tu. Habis nak buat apa lagi?" katanya ringkas kepada pemberita pada sidang media sejurus selesai pembentangan bajet di Dewan Rakyat di sini hari ini.
#bajet #Bajet 2018 #Barisan Nasional #Dewan Rakyat #Najib Razak #pembangkang #Perdana Menteri #pilihan raya #rakyat #TPM #Zahid Hamidi
;