Bajet 2018: RM200 kepada anak Malaysia lahir mulai 1 Januari 2018
Bernama
Oktober 27, 2017 17:08 MYT
Oktober 27, 2017 17:08 MYT
Dana Tabungan Permulaan sebanyak RM200 akan diberikan kepada setiap anak Malaysia yang lahir bermula 1 Januari 2018 hingga 2022 melalui unit Amanah Saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini, berkata skim itu yang pertama kali diperkenalkan bagi menjamin masa depan generasi TN50 dikenali sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta bagi pendidikan generasi TN50 yang antara lain digunakan untuk menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, pusat itu bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini serta melatih guru pakar STEM menggunakan fasiliti institut pendidikan guru sedia ada dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia.
Peruntukan itu juga digunakan untuk mempertingkatkan modul komputer sains termasuk program koding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah yang kini telah wujud di tingkatan 1 dan tingkatan 3.