Bajet 2018: Laksana projek pembangunan sedia ada di Kelantan - Mustapa

Vivi Sumanti
Oktober 6, 2017 02:58 MYT
Mustapa harap projek yang telah dirancang dalam RMK11 tidak tergendala.
Pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak penghujung bulan ini diharap memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur yang sudah dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Kelantan.
Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tumpuan itu bagi membolehkan segala perancangan pembangunan membabitkan projek-projek infrastruktur dalam RMK11 tidak tergendala.
"Apa yang kita maksudkan adalah projek-projek yang telah dirancang seperti pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, pelebaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra serta projek empangan dan tebatan banjir di kawasan pedalaman.
"Projek-projek ini tersenarai dalam RMK11 dan bukan projek baharu serta perlu diteruskan tahun depan," katanya selepas majlis perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan JPP Kelantan di sini semalam.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri melahirkan kerisauan apabila terdapat projek yang tersenarai dalam RMK11 belum dimulakan walaupun tempoh itu (RMK11) berbaki kurang tiga tahun.
Dalam pada itu, beliau berharap Perdana Menteri juga memberi tumpuan kepada pembangunan insan dan rohani bagi meningkatkan jati diri belia serta pembentukan akhlak yang baik.
#Bajet 2018 #Infrastruktur #Kelantan #MTEN #Mustapa Mohamed #RMK11