Bajet 2018: Jawatankuasa pastikan program berjalan ikut jadual
Rahimah Abdullah
Oktober 30, 2017 21:17 MYT
Oktober 30, 2017 21:17 MYT
Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi memastikan agensi terlibat melaksanakan setiap projek atau program dalam Bajet 2018 mengikut jadual yang ditetapkan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Katanya, jawatankuasa yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa itu akan memantau pelaksanaan Bajet 2018 supaya sampai kepada rakyat dan pada masa sama, berupaya meningkatkan taraf ekonomi negara.
"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan KSN akan mempengerusikan satu task force, yang mana saya sebagai timbalannya, untuk memastikan semua agensi-agensi melaksanakan projek-projek dan program-program yang dilaksanakan dalam Bajet dengan secepat mungkin seperti yang dijadualkan.
"Jadi, kita bukan sahaja tengok jadual pelaksanaan, namun task force pun, secara berkesan, supaya impaknya lebih tinggi," katanya kepada media selepas Dialog Pasca Bajet 2018 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, jawatankuasa itu akan menyenaraikan langkah-langkah melaksanakan Bajet 2018 bagi memastikan ia dapat dilaksanakan pada masa yang ditetapkan.
Mengenai langkah pemansuhan kutipan tol di beberapa lebuh raya di Selangor, Kedah dan Johor seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2018, Mohd Irwan menjelaskan, kerajaan sedang melakukan perbincangan mengenai struktur pelaksanaannya sehingga ia dapat dilaksanakan tahun depan.
"Kita sedang tengok struktur bagaimana hendak pastikan ia dapat dilaksanakan. Perbincangan sedang berlaku," ujarnya.