Bajet 2017 suntik pembangunan masyarakat India
Datuk M Periasamy
Oktober 22, 2016 15:49 MYT
Oktober 22, 2016 15:49 MYT
BAJET 2017 yang dibentangkan di Parlimen oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan disambut baik oleh kaum India tanpa mengira golongan, tempat tinggal mahupun fahaman politik kaum India.
Masyarakat India disediakan lebih RM260 juta secara khusus dalam Bajet 2017 untuk memperkasa dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka yang melibatkan bidang seperti pendidikan di sekolah Tamil, melahirkan keusahawanan, bantuan kewangan bagi melahirkan usahawan baru, pendidikan prasekolah dan sebagainya.
Peruntukan sejumlah RM50 juta disediakan bagi program peningkatan kapasiti dan pendapatan, RM150 juta untuk program pembiayaan perniagaan melalui TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia, RM50 juta untuk menambahbaik dan penyelengaraan sekolah Tamil dan RM10 juta untuk memperluaskan program pra-sekolah di 50 sekolah Tamil.
Selain itu, kaum India juga boleh menikmati peruntukan-peruntukan yang disediakan bagi BR1M melibatkan RM6.8 bilion, Program Agropreneur RM100 juta, bantuan buku teks RM1.1 bilion dan lain-lain peruntukan yang disediakan untuk membela kebajikan rakyat pelbagai kaum.
Dalam pada itu, kaum India masih teringat saat Datuk Seri Najib membuat pengumuman semasa merasmikan Persidangan perwakilan MIC ke-70 pada 16 Oktober lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bahawa kerajaan bakal melancarkan pelan induk untuk pembangunan masyarakat India pada tahun 2017.
Jadi, Bajet 2017 bakal menyediakan peruntukan kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan program pelan tindakan itu.
Kaum India menyifatkan pengumuman pelan tindakan diikuti dengan peruntukan kewangan dalam Bajet 2017 sebagai satu initiatif yang ikhlas malah mencerminkan dasar inklusif yang dimajukan oleh Datuk Seri Najib sejak beliau mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada tahun 2009.
Bajet 2017 dijangka akan terus melengkapi dan menyempurnakan malah memantapkan langkah-langkah yang sekian lama diambil oleh agensi ‘Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED)’ yang ditubuhkan pada tahun 2012 di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Sehingga kini, SEED telah membantu lebih 24,000 usahawan India melibatkan RM804.87 juta serta melatih 5,000 pengusaha kecil.
Selain itu, SEED juga dilaporkan telah melahirkan seramai 8,975 usahawan di kalangan golongan wanita India dengan bantuan RM103,599,987 dalam masa empat tahun kebelakangan ini.
TEKUN Nasional pula dilaporkan telah membantu lebih 1,352 pengusaha India sehingga tahun 2016 dengan jumlah peruntukan RM30 juta.
Dengan peruntukan besar tersebut dan pelan tindakan yang bakal dilaksanakan nanti, kaum India dijangka akan menyertai dan menikmati pembangunan dan kekayaan negara secara berterusan dengan adil malah dapat mempertingkatkan status sebahagian komuniti India yang terletak dalam kumpulan B40 ke tahap sosioekonomi yang lebih baik pada masa akan datang.
Memandangkan kaum India didapati cenderung dan menyertai hampir 91 peratus di dalam bidang keusahawanan mikro (micro enterprise) peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2017 dijangka akan membantu dan mempercepatkan proses penglibatan sebahagaian besar komuniti India, secara amnya dan golongan muda secara khususnya dalam bidang perniagaan dan perindustrian kecil, sederhana dan besar pada masa hadapan.
Peruntukan sejumlah besar yang disediakan dalam Bajet 2017 oleh kerajaan jelas membuktikan kerajaan komited untuk mengarus perdanakan program-program pembelaan ke atas masyarakat India agar mereka terus diperkasakan dalam agenda pembangunan negara.
Kaum India secara amnya dan ahli-ahli MIC secara khususnya terharu malah gembira yang tidak terperi kerana tuntutan mereka sejak sekian lama, usul demi usul yang dibentangkan dalam persidangan-persidangan MIC mengenai rancangan dan bantuan kerajaan bagi sosio-ekonomi kaum India telah diambil kira dan dimasukkan dalam Bajet 2017.
Justeru, kaum India harus bersama dengan kerajaan yang bukan sahaja menterjemahkan apa yang dijanjikan malah mengotakan apa yang dikatakan dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka dalam bidang sosioekonomi.
Dengan itu, kaum India harus menolak sebarang dakwaan dan pembohongan yang disebarkan saban hari oleh setengah pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya kerajaan mengabaikan kepentingan kaum India malah negara berada di ambang kebankrapan.
Sesungguhnya, kaum India harus terus yakin bahawa Bajet 2017 dan blueprint yang bakal dilancarkan nanti akan mengarus perdanakan pembangunan kaum India di masa hadapan dalam menjamin keadilan sosial.
* M.Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.