Bajet 2017: Kaji semula proses pinjaman, pembayaran PTPTN
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 16, 2016 17:13 MYT
Oktober 16, 2016 17:13 MYT
Kerajaan perlu melakukan penilaian semula terhadap proses pemberian pinjaman dan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana wujud ketidakseimbangan dalam pembayaran sekaligus menyebabkan hutang oraganisasi itu mencecah RM50 bilion.
Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming berkata ada antara penerima pinjaman yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi namun mendapat pengecualian bayaran semula.
"Kita tahu ada dalam kalangan penerima PTPTN dari golongan berpendapatan tinggi dan mereka mendapat kelas pertama sekaligus pinjaman itu menjadi biasiswa.
"Kita fikir semula, siapa yang paling mudah untuk mendapat pekerjaan? Pastinya mereka yang mendapat kelas pertama, bermakna mereka lebih mudah untuk membayar semula pinjaman.
"Bagaimana pula mereka yang mendapat kelas kedua dan hanya menerima gaji bulanan yang tidak sebegitu tinggi? Mereka ini sukar untuk membayar semula pinjaman. Jadi PTPTN perlu meneliti semua perkara-perkara sebegini," katanya semasa menyampaikan forum Budget 2017: Weathering Storms di sini hari ini.
Tambahnya lagi, polisi penukaran pinjaman PTPTN kepada biasiswa perlu dikaji semula bagi membolehkan PTPTN terus konsisten membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
"Kita perlu kaji semula bagaimana PTPTN memberi pinjaman ini dan siapa yang layak untuk mendapatkan pinjaman dan juga siapa yang dapat kelayakan kelas pertama itu boleh mendapat diskaun atau semua hutang itu boleh dimansuhkan secara langsung.
"Saya rasa polisi-polisi seperti ini perlu dikaji semula kerana saya rasa PTPTN pun memang tiada duit untuk membayar balik (pinjaman) kepada Kerajaan," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian sebagai respon menjelang pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat.
Mengulas berkenaan Bajet 2017, beliau menggesa Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menerima pertambahan peruntukan tertinggi pada Bajet 2016 untuk memberi penjelasan serta lebih telus dalam menguruskan peruntukan tersebut.
"Jadi saya rasa dari segi ketelusan ini memang perlu ditambah baik keranan bila orang ramai tengok banyak kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah dipotong bajet pada masa sama seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah naik bajet dengan cara yang tidak begitu telus. Saya rasa dari segi ketelusan ini memang perlu ditambah baik. Penjelasan yang lebih terperinci mesti diberi kepada ahli Parlimen dan rakyat," ujarnya.
Beliau berharap Bajet 2017 perlu lebih komprehensif sekaligus memberi fokus kepada pembangunan pendidikan di semua peringkat termasuk perkhidmatan kesihatan dan pembangunan sosial.
#Budget 2017: Weathering Storms
#hutang PTPTN mencecah RM50 bilion
#Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)