Bajet 2017: Apa kata anggota Parlimen pembangkang?
Astro Awani
Oktober 21, 2016 23:06 MYT
Oktober 21, 2016 23:06 MYT
Pihak pembangkang melahirkan kekhuatiran sama ada kerajaan mampu atau tidak menampung hutang berbilion ringgit yang dihadapi kini.
Malah, mereka mempersoal mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyatakan pelan kewangan negara yang bakal berdepan ekonomi dunia yang tidak menentu.
Selain itu, ada beberapa ahli polilitik dari pihak pembangkang berkata tiada yang baharu yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib petang tadi.
Berikut adalah reaksi ahli pembangkang berhubung pembentangan Bajet 2017:
Persiden PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail:
“Sudah berapa kali pembentangan belanjawan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan 'lari' dari menjawab isu 1MDB.”
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin:
“Bagaimana dia nak menyelesaikan hutang-hutang dan tanggungan-tanggungan yang banyak tadi. Jadi kemungkinannya tawaran yang diberi itu amat sedikit kerana keupayaan kerajaan untuk menyelesaikan hutang-hutang termasuk 1MDB tidak dijelaskan.
Ahli Parlimen Kluang (DAP) Liew Chin Tong:
"Cukai syarikat akan meningkat 9 peratus dan kutipan cukai petroleum akan meningkat 24 peratus, dalam suasana di mana harga petrol tidak semestinya stabil, syarikat tidak dapat keuntungan yang mencukupi. Sasaran itu tidak optimistik dan mungkin tidak realistik.
Presiden Parti Warisan Sabah dan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal:
“Tiada yang baru. Pan Borneo, Sabah, bekalan elektrik, air kita sudah tahu. Apa yang baru? Bagi pandangan saya, tiada apa yang baru.
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah:
"Akhirnya, diumum skim Perkeso untuk pemandu teksi. Tetapi Najib juga gesa golongan B40 untuk menjadi pemandu Uber."
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua:
“Bukannya menangani kelemahan struktur ekonomi, Najib menggunakan ucapan Bajet 2017 untuk mengejek pihak pembangkang.”
Ahli Parlimen Serdang (DAP) Ong Kian Ming:
“Saya berasa sedih untuk pelajar dan petugas universiti awam. Pemotongan untuk dua tahun berturut-turut.”