Bajet 2017: Akta Kebankrapan 1967 dipinda mulai awal tahun depan

Bernama
Oktober 21, 2016 23:08 MYT
Menurut data statistik kebankrapan dari Jabatan Insolvensi Malaysia, bagi tempoh 2011 hingga Disember tahun lalu terdapat sebanyak 101,537 kes bankrap dilaporkan.
Kerajaan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 mulai awal tahun depan yang dijangka akan memberi perhatian terhadap mereka yang diisytiharkan bankrap terutamanya kerana menjadi 'penjamin sosial'.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini bagaimanapun berkata perincian mengenainya sedang dilakukan dan butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Mereka yang telah diisytiharkan bankrap, terutamanya 'penjamin sosial' misalannya penjamin biasiswa...dan antaranya mereka yang menghidap penyakit kronik setelah disahkan oleh hospital kerajaan juga mereka yang telah berumur," katanya.
Menurut data statistik kebankrapan dari Jabatan Insolvensi Malaysia, bagi tempoh 2011 hingga Disember tahun lalu terdapat sebanyak 101,537 kes bankrap dilaporkan.
Bagaimanapun tiada data mengenai berapa ramai individu yang diisytiharkan bankrap disebabkan menjadi penjamin sosial kepada peminjam yang gagal membayar hutang.
Pada Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong dilaporkan berkata kebanyakan kes bankrap pada 2014 dan tahun lepas berpunca daripada masalah pinjaman peribadi dan masalah sewa beli kenderaan.
-- BERNAMA
#Akta Kebankrapan 1967 #bankrap #penjamin sosial #pinda
;