Bajet 2016 rangsang penggunaan pengangkutan awam

Shuhami Zabri
Oktober 23, 2015 21:55 MYT
Menurut Azmi, Projek Penyambungan Jajaran LRT Laluan Ampang dan Kelana Jaya akan memberi impak yang besar dalam meningkatkan lagi peratusan penggunaan pengangkutan awam. - Gambar Fail
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melihat beberapa cadangan dalam Bajet 2016 bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang tahun 2030.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh Prasarana kini berjalan lancar dan akan beroperasi mengikut jadual.
Katanya, Projek Penyambungan Jajaran LRT Laluan Ampang dan Kelana Jaya akan memberi impak yang besar dalam meningkatkan lagi peratusan itu (peratusan penggunaan pengangkutan awam).
"Langkah kerajaan untuk melaksanakan projek BRT juga adalah di landasan yang betul khususnya BRT Kuala Lumpur-Klang, yang akan membantu memberi impak besar dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang di samping menambah baik mutu sistem pengangkutan awam," katanya dalam satu kenyataan.
Azmi turut menyambut baik cadangan pembinaan projek Bas Rapid Transit (BRT) di Kota Kinabalu yang pasti akan mempertingkatkan lagi mutu sistem pengangkutan awam dan gaya hidup penduduk di ibu negeri Sabah itu.
Selain LRT, katanya projek BRT sememangnya adalah formula terbaik dalam meningkatkan peratusan pengguna pengangkutan awam.
Dalam pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dua projek BRTakan dilaksanakan tahun depan iaitu BRT Kuala Lumpur-Klang serta BRT Kota Kinabalu, yang masing-masing dianggarkan bernilai RM1.5 bilion dan RM1 bilion.
##Bajet2016 #Bajet 2016 #Budget 2016 #Infrastruktur #Najib Razak
;