BAJET 2015: Pemuda MCA harap lebih peluang dalam pendidikan dan keusahawanan

Astro Awani
Oktober 9, 2014 08:24 MYT
SIN WOON: Pemuda MCA harap lebih peluang dalam pendidikan dan keusahawanan - Gambar fail
Bajet untuk 2015 diharap memberi lebih peluang dan insentif kepada pembangunan belia khususnya sektor pendidikan dan keusahawanan.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, pelajar universiti yang mendapat ijazah kelas pertama harus ditawarkan biasiswa untuk meneruskan pendidikan ke peringkat Sarjana dan PHD secara automatik.
"Ia perlu supaya bakat itu dapat diasuh di dalam universiti tempatan untuk membantu membangunkan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, tabung untuk membantu belia memulakan perniagaan juga harus dirombak supaya bukan hanya menyediakan dana semata-mata.
"Kita perlu melihatnya dari aspek latihan dan penyeliaan yang rapi supaya ia dapat meningkatkan peratus kejayaan," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, kreativiti belia tempatan harus dikerah sepenuhnya dengan memberi peluang dan menggalakkan mereka menceburi bidang pertanian moden dan sektor pelancongan.
"Saya yakin belia kita penuh kreatif dan jika diberi rangsangan dan peluang yang cukup maka dua sektor ini akan berkembang pesat," ujarnya.
Sin Woon turut meminta perhatian khas khusus kepada belia di bandar yang semakin sukar untuk membeli rumah kerana harga yang terlalu mahal.
"Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan rumah mampu milik dialu-alukan tetapi cara pembahagiannya haruslah adil dan dilaksanakan secara terbuka tanpa mengira kaum," katanya.
Sin Woon juga melahirkan harapan sekolah semua aliran diberikan layanan yang sama memandangkan kepelbagaian adalah aset dan kekuatan kepada negara.
"Nasionalisme yang dipupuk haruslah nationalisme bangsa Malaysia dan bukannya nasionalisme Melayu, Cina atau India.
"Justeru itu, pendidikan Cina tidak harus dilihat sebagai pendidikan untuk orang Cina tetapi menjadikan anak muda generasi baru kita multi-lingual dan berdaya saing dalam pasaran antarabangsa," jelasnya.
#2005 #bajet #bangsa #Cina #MCA #pemuda #PhD #Sarjana #sekolah