Bajet 2014: Wang bukan isu dalam mendapatkan pendidikan terbaik, kata ibu bapa

Arfa Yunus
September 24, 2013 07:45 MYT
Wang bukanlah isu yang penting dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik buat anak-anak.
Itu merupakan pandangan yang disuarakan oleh ibu bapa sekitar ibu kota yang rata-ratanya menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen selepas tamat waktu persekolahan.
“Keputusan saya untuk menghantar anak ke pusat tuisyen bukan kerana saya mahu, tetapi kerana terpaksa. Pendidikan anak-anak adalah satu keutamaan bagi saya,” kata ibu yang berusia 48 tahun, Selvi Naraian.
Beliau yang juga merupakan ahli perniagaan berkata, pencapaian anak beliau terbukti lebih cemerlang selepas beliau menghantar anaknya ke pusat tuisyen.
“Anak saya memerlukan bimbingan terutama dalam subjek Bahasa Malaysia. Inisiatif Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yasin) untuk menambah masa pembelajaran Bahasa Malaysia memang satu langkah yang baik,” tambah beliau.
Bagi sesetengah ibu bapa pula, mereka merasakan sesi pembelajaran di sekolah sahaja tidak memadai dimana ini penyebab utama mereka menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen.
“Mungkin kemahiran penyampaian ilmu oleh guru-guru di sekolah kurang berbanding guru tuisyen, jadi ini menyebabkan kami sebagai ibu bapa memilih pusat tuisyen. Kadang kala saya rasa hairan kerana anak saya pulang ke rumah tanpa kerja rumah dibekalkan oleh guru di sekolah,” kata Jeyabala Jaganathan, 39.
Lain pula bagi Suzlynna Mustapha, 49 dimana beliau mendapatkan khidmat tutor peribadi untuk anaknya yang berusia 10 tahun.
“Saya berbelanja sehingga RM600 sebulan untuk tutor peribadi dan secara jujurnya, memang ada peningkatan dalam pembelajaran anak saya. Secara jujurnya, saya memang tidak suka jika anak saya menghabiskan terlalu banyak masa di sekolah sahaja. Jika di rumah, senang untuk saya pantau anak saya,” kata Suzlynna.
Pandangan ini disokong oleh Tarmiah Shakur dimana beliau tidak bersetuju untuk anaknya menghabiskan masa di sekolah sahaja.
“Saya tidak setuju jika mahu mengadakan kelas tambahan di sekolah kerana kami sebagai ibu bapa yang bekerja tidak mempunyai masa untuk mengambil dan menghantar anak ke sekolah beberapa kali sehari. Kami cuma ada masa pada waktu malam, jadi pusat tuisyen merupakan jalan penyelesaian terbaik,” kata Tarmiah.
Abdul Karim Ghazali, 48 pula berpendapat, kelas tambahan hanya akan membebankan para guru.
“Ibu bapa sendiri sepatutnya mengambil bahagian dalam memikirkan pendidikan anak-anak mereka. Kita tidak boleh menyalahkan system pendidikan semata-mata. Jika anak-anak boleh memberi tumpuan yang lebih di pusat tuisyen, hantar mereka ke situ. Jangan jadikan wang sebagai satu alas an kerana pendidikan anak-anak lebih berharga,” tambah Abdul Karim.
#guru #ibu bapa #pendidikan #pusat tusyen #sekolah
;