Bajet 2014: Usahawan muda jangan takut untuk gagal - panelis Google Hangout

Syafique Shuib
Oktober 26, 2013 20:10 MYT
Panelis sesi Google Hangout Bajet 2014 menyambut baik penubuhan Pejabat Pembagunan Usahawan Kebangsaan dan Pusat Inovasi Global dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) bagi menggalakkan lebih ramai usahawan dan membantu usaha 'start-up'.
Namun, pengasas bersama EYE Project Christopher Tock berpendapat bahawa masih lagi tiada galakkan untuk anak-anak muda menceburi bidang keusahawanan. Justeru mereka lebih memilih untuk mendapat pekerjaan tetap.
Wakil Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Rozitaayu Zulkifli pula berpendapat sikap anak-anak muda perlu berubah.
"Ramai mahu menjadi usahawan, namun siapa yang berani gagal? Mereka masih tertakut-takut. Mereka juga perlu sabar kerana tidak semestinya pada tiga tahun pertama mereka akan mendapat keuntungan," kata beliau.
Panelis yang diundang juga berbincang tentang skim aturan kerja fleksibel.
"Kami para ibu menyokong skim aturan kerja fleksibel. Namun saya berharap kepada pihak swasta untuk melaksanakan ini. Jangan cakap sahaja semasa pembentangan Bajet 2014. Namun produktiviti tidak boleh diabaikan" kata Rozitaayu.
Tentang meluaskan kemudahan internet, ramai panelis berpendapat ia adalah usaha yang bagus kerana ia dilihat sebagai keperluan harian. Namun, Petra Gimbad, yang dilahirkan di Sabah, lebih ingin melihat pembangunan jalanraya dan kemudahan sistem pengangkutan.
#Bajet 2014 #Google Hangout #kemudahan internet #keusahawanan #Najib Razak
;