Bajet 2014: Petanda baik kepada pembangunan industri telekomunikasi

Azyyati Ahmad
Oktober 26, 2013 08:43 MYT
Pembentangan Bajet 2014 jelas menunjukkan satu petanda baik dalam penerusan komitmen kerajaan kepada pembangunan industri telekomunikasi negara.
Demikian menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi dalam kenyataan sempena pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“SKMM menyambut baik pengumuman Bajet 2014 oleh Perdana Menteri khasnya mengenai peruntukan kepada projek-projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), projek pembinaan kabel dasar laut dan menara pemancar telekomunikasi yang berjumlah RM5.75 bilion” tambahnya lagi.
Mohamed Sharil turut menyatakan keyakinannya dengan peruntukan tersebut, usaha untuk merapatkan jurang digital serta pembudayaan gaya hidup digital yang lebih menyeluruh dapat direalisasikan.
Projek berkenaan yang akan dijalankan dengan kerjasama sektor swasta dijangka bakal meningkatkan lagi kelajuan internet sedia ada sekarang kepada 10 megabit sesaat (mbps) yang akan memanfaatkan 2.8 juta isi rumah di seluruh negara.
Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar.
#Bajet 2014 #Dato Mohamed Sharil Tarmizi #Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia #SKMM
;