Baiki tempoh masa berurusan dengan rakyat - PM
Sinar Harian
Februari 7, 2023 11:00 MYT
Februari 7, 2023 11:00 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat teguran agar kementerian dan agensi meningkatkan kecekapan dalam urusan penyampaian perkhidmatan membabitkan rakyat secara terus.
Tanpa menyebut nama kementerian atau agensi, Anwar berkata, setiap urusan tempoh yang mengambil masa lama jika tidak ditangani akan menimbulkan keresahan rakyat.
"Kalau berbaris berjam-jam untuk mendapatkan lesen, bagi saya ia perlu diperbaiki," katanya menerusi ucapan perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon Puspanitapuri pada Selasa.
Menurutnya, beliau sering meletakkan situasi tersebut ke atas diri bagi memahami keadaan rakyat.
"Saya selalu ambil contoh apa kata kalau saya yang terpaksa berbaris di situ.
Atau pun kalau dikata dalam kajian perbendaharaan, Khazanah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai kadar kemiskinan yang menurun, miskin tegar, saya kata apa kata kalau keluarga saya dalam kategori itu?" soal Anwar.
Beliau berkata, dengan tindakan meletakkan diri sendiri berada di dalam situasi tersebut, barulah maksud membebaskan manusia dari segala bentuk perhambaan seperti terkandung di dalam surah al-Balad dapat dicapai.
"Dalam kerja, amalan dan jabatan, kita tidak boleh terlepas daripada keikhlasan kita untuk membebaskan rakyat daripada segala bentuk penindasan, perhambaan.
Memperbodohkan dan memiskinkan rakyat, mengambil harta rakyat sehingga hak mereka tersisih," katanya.
Anwar berkata, gesaan yang dilakukannya bersama menteri kabinet selepas mengambil alih pentadbiran negara adalah dengan niat yang baik.
"Ada orang tegur tidak patut saya asyik menyebut perkara lama tetapi imej, ekonomi negara dan ketelanjuran negara itu tidak boleh dinafikan," katanya. -Sinar Harian