Baiki SOP, benarkan restoran beroperasi selepas 8 malam - Ahli Parlimen pembangkang
Isabelle Leong
Januari 18, 2021 11:10 MYT
Januari 18, 2021 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: 21 Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan untuk memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk dengan membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi secara tidak terhad sehingga jam 8 malam.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, mereka berkata ini memandangkan pelanggan tidak dibenarkan makan dalam kedai dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah.
“Masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.
“Membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan mereka akan membantu memulihkan ekonomi para peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga jam 8 malam sahaja,” kata kenyataan tersebut.
Antara Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Ahli Parlimen itu juga menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperbaiki SOP tersebut kerana ia memberi kesan kepada para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.
“Kami juga menggesa kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.
“Berbanding PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini.,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan masih belum mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu operasi kedai makan dari pukul 8 malam hingga 10 malam di negeri yang terbabit dengan PKP.
#restoran
#Kedai makan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#MKN
#Ahli Parlimen Pembangkang
#ekonomi
#Darell Leiking
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#Hannah Yeoh
#Yeo Bee Yin
#Baru Bian
#Salahuddin Ayub
#Dzulkefly Ahmad
#Kasthuriraani Patto
#Dr Maszlee Malik
#darurat