PEKAN: Pembaikan tandas hospital dan wad pesakit yang uzur akan diberikan tumpuan segera menerusi peruntukan Belanjawan 2025, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.


Ringkasan AI
  • Peruntukan Belanjawan 2025 akan digunakan untuk membaiki tandas hospital dan wad pesakit yang uzur, serta menaik taraf klinik daif dengan peruntukan RM300 juta.
  • Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi sebanyak RM45.3 bilion untuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa, dan mesra rakyat.
  • Masa menunggu di hospital dijangka dapat dikurangkan dengan memulakan perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan swasta, serta pembelian SGLT-2 inhibitors untuk rawatan diabetes.


Beliau berkata kerja-kerja pembaikan fasiliti itu akan dilaksanakan secepat mungkin seiring saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hospital kita bukan sahaja perlu ditambah baik dari segi perkhidmatan tetapi juga kemudahan tandas serta wad.

"Selain itu, fasiliti yang akan dinaik taraf ialah klinik yang daif menerusi pemberian peruntukan RM300 juta berbanding belanjawan sebelum ini RM150 juta maka kami boleh laksanakan naik taraf klinik termasuk di kawasan pedalaman dan klinik desa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program MADANI Afiat dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Pahang 2024 di Dataran Bandar Diraja di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2025, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding sebelum ini RM41.2 bilion untuk menjalankan tugas-tugas asas termasuk memastikan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Perdana Menteri ketika membentangkan belanjawan itu turut memaklumkan peruntukan berkenaan meliputi RM1.35 bilion bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

Sementara itu, Dzulkefly berkata menerusi peruntukan diterima kementerian, masa menunggu di hospital juga dapat dikurangkan apabila perkhidmatan kesihatan sedia ada di hospital akan dimulakan di klinik kesihatan dan swasta.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kira-kira 580,000 pesakit akan menerima manfaat dengan pembelian SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.

"Meskipun mahal sikit tetapi baik untuk merawat pesakit kencing manis kerana dapat mengelak kemudaratan seperti potong kaki dan kegagalan buah pinggang," katanya.

-- BERNAMA