Baik pulih jalan, tebing sungai di Sungai Lui dijangka siap sebulan
Sinar Harian
Januari 21, 2022 11:46 MYT
Januari 21, 2022 11:46 MYT
HULU LANGAT: Kerja-kerja membaik pulih jalan dan mengukuhkan tebing sungai Jalan Sungai Lui akibat banjir dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim yang berkongsi perkara itu di Twitternya berkata, sebanyak 91 lokasi tanah runtuh dikenalpasti di kawasan berkenaan dan 62 daripadanya didapati serius serta perlu dibaik pulih segera.
"Saya juga melawat kerja-kerja baik pulih tebing sungai dan jambatan Bailey di Sungai Lui yang telah siap sepenuhnya hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," ciapnya di laman Twitternya pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu juga meninjau kerja-kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat di sini dan kawasan di sekitarnya pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian di Batu 17, Dusun Tua, Jalan Hulu Langat mendapati sekumpulan pekerja yang berada di kawasan terbabit giat menjalankan kerja memunggah batu dan tanah.
Katanya, secara keseluruhannya jumlah kerosakan infrastruktur akibat banjir ditanggung kerajaan negeri kira-kira RM500 juta dan ia dibaik pulih mengikut fasa yang telah ditetapkan sebelum ini.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri Selangor juga akan terus membantu rakyat yang terkesan banjir.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Batu 17, Dusun Tua, Jalan Hulu Langat, di sini pada Jumaat mendapati sekumpulan pekerja yang berada di kawasan terbabit giat menjalankan kerja memunggah batu dan tanah.
*Berita asal di Sinar Harian