Baik pulih flat Permyjaya: Jurutera, juruteknik kanan HDC direman tujuh hari
Rudi Affendi Khalik
Ogos 18, 2017 12:58 MYT
Ogos 18, 2017 12:58 MYT
Dua pegawai Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) direman tujuh hari pagi ini bagi membantu siasatan berhubung tender mengecat dan baik pulih yang gagal dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di sebuah flat di Permyjaya, Miri.
Majistret Zaiton Annuar membenarkan permohonan reman oleh pegawai pendakwa SPRM, Mohd Ikhwan Ibrahim bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berdasarkan Laporan Audit Negara 2016 pada 31 Julai lalu.
Jurutera berusia 39 tahun dan juruteknik kanan berusia 59 tahun itu ditahan sekitar jam 12 hingga 1.20 tengah hari semalam selepas sepasukan SPRM menyerbu HDC untuk mendapatkan bahan bukti.
Dua lagi yang ditahan ialah kontraktor utama berusia 49 tahun dan subkontraktor pembinaan berusia 30-an di Sibu.
Proses tahanan reman kontraktor utama bagaimanapun ditangguhkan memandangkan beliau akan menunaikan haji minggu hadapan.
Permohonan reman subkontraktor terlibat pula dilakukan di Mahkamah Majistret Sibu.
Tender berkenaan dibuka HDC Sarawak pada April 2015 bagi kerja-kerja mengecat dan membaik pulih 12 unit rumah flat dua tingkat yang terbakar.
Syarikat tersebut telah membuat tuntutan pembayaran berjumlah RM11,969 daripada HDC pada 2016 sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilakukan.
Perakuan Kerja Siap bagaimanapun dikeluarkan oleh pihak HDC pada November 2015.
#HDC
#Perakuan Kerja Siap
#Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak
#Permyjaya
#SPRM
#tender mengecat