Bahaya cetuskan provokasi terhadap golongan transgender - Lawyers for Liberty

Cynthia Ng
November 11, 2014 13:51 MYT
Eric menggesa agar satu pemikiran progresif dan dialog diadakan bagi membincang perkara tersebut dan bukan mengutuk dan menghukum transgender yang boleh membawa kepada kejadian jenayah.
Kumpulan NGO Lawyers for Liberty hari ini menyuarakan keprihatinannya mengenai peningkatan retorik agama terhadap golonan transgender.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan undang-undang negeri yang melarang lelaki muslim berpakaian seperti wanita.
Pengarah Eksekutifnya Eric Paulsen berkata, adalah merbahaya untuk mencetuskan provokasi dan bersikap tidak bertoleransi terhadap masyarakat transgender.
Eric mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria bahawa golongan transgender adalah orang yang mencabar hukum Allah, malah ada yang mengatakan pergerakan transgender telah menjadi "kanser", manakala parti-parti politik tertentu dan menteri telah dipanggil untuk 'berjihad' terhadap transgender dalam 'mempertahankan Islam.'
"Sebagai sebuah agama yang dihormati dan disanjungi, adalah mengejutkan bagi mereka yang berpengaruh dalam bidang agama untuk memberikan reaksi berlebihan begitu.
"Bagaimana sekiranya ada pihak yang tersalah ajaran agama mengambil tindakan sendiri dengan melakukan kekejaman atau sesuatu yang di luar dugaan ke atas golongan transgender atas alasan mereka berjihad dan membela agama Islam?" soal Eric dalam satu kenyataan.
Eric turut memetik contoh retorik iaitu bagaimana agama telah mengilhamkan kejadian jenayah kebencian dan keganasan di beberapa negara seperti Pakistan, India dan Myanmar.
Malah Eric menggesa agar satu pemikiran progresif dan dialog diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dan bukan mengutuk dan menghukum transgender yang boleh membawa kepada kejadian jenayah.
"Ada tafsiran lain dalam Islam mengenai cara terbaik untuk menangani transgenderisme dalam mengambil kira keadilan, kebebasan awam, privasi dan perubahan zaman moden termasuk mengenali gangguan identiti jantina," kata Eric.
Pada Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan sebagai tidak sah ketetapan Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah perbuatan jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaan.
Panel tiga hakim mahkamah itu yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat ketetapan tersebut selepas membenarkan rayuan tiga lelaki yang bekerja sebagai mak andam untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan yang menolak semakan kehakiman mereka bagi mencabar undang-undang syariah itu.
#Lawyers for Liberty #Mahkamah Rayuan #transgender
;