Bahasa Melayu: Jangan jadikan Malaysia 'syok sendiri' - Rafidah Aziz
Astro Awani
Mei 28, 2022 17:31 MYT
Mei 28, 2022 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Tan Sri Rafidah Aziz membidas tindakan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam, termasuk membabitkan urusan rasmi di peringkat antarabangsa.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan tahap kemahiran kakitangan awam dalam penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang berkaitan.
Jelas beliau lagi, visi dan tumpuan Malaysia pada satu masa dahulu adalah untuk berada dalam infrastruktur serantau dan global.
"Bukan Malaysia dalam 'syok sendiri', kepompong kecil yang mencederakan dirinya sendiri.
"Jika pemikiran 'mundur' ini berterusan dengan 'penalti yang dikenakan' kerana tidak berkomunikasi dengan seluruh dunia dalam bahasa Inggeris, maka kita akan menjadi birokrasi 'pariah' di ASEAN dan tersekat dengan banyak kelemahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan itu.
Katanya, tindakan korektif dan punitif, selain teguran berdasarkan audit bahasa itu bukan bertujuan menakut-nakutkan, sebaliknya bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya sewenang-wenangnya.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan mengarahkan semua urusan melibatkan luar negara termasuk surat-menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu.
Mengulas lanjut, Rafidah yang menerajui MITI dari tahun dari 1987 hingga 2008 berkata, beliau telah meminta kakitangan supaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris untuk kecekapan dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan mereka dan ia telah diluluskan oleh Kabinet pada masa itu.
Bagaimanapun berikutan arahan penggunaan bahasa Melayu, Rafidah menzahirkan rasa simpati dengan pegawai-pegawai di kementerian berkenaan dan orang lain yang perlu berurusan dengan masyarakat asing dalam apa jua bidang.
“Kecekapan pegawai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris menjadi pendorong utama dan faktor penarik dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam bidang dan sektor yang disasarkan dan strategik.
"Malaysia sememangnya destinasi pelaburan dan perniagaan pilihan. Komunikasi harus dipermudah dan berkesan," tambah beliau lagi.
Selain itu, Rafidah berkata usaha yang sedang dilakukan ini dianggap akan merugikan negara terutamanya kepada golongan muda.
Ini kerana katanya, golongan itu seharusnya melengkapkan diri dengan pengetahuan baharu, teknologi komunikasi maklumat, diplomasi dan kemahiran bahasa untuk mendepani dunia dengan berkesan.
"Kita sepatutnya maju dan bergerak ke hadapan, bukan mundur dan tergelincir ke belakang dan ke bawah," ujar Rafidah.