Bahasa Melayu: G25 anggap tindakan punitif zalim, hipokrit
Astro Awani
Mei 28, 2022 19:20 MYT
Mei 28, 2022 19:20 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan punitif bagi memperkasakan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam dianggap sebagai pendekatan zalim dan bersifat hipokrit.
Organisasi dianggotai bekas kakitangan awam, G25 berkata ini kerana kebanyakan anak-anak golongan kaya dan berkuasa merupakan produk dari sekolah dan universiti antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara.
Justeru, organisasi tersebut menyeru agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan tindakan hukuman terhadap kakitangan awam, yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan pekerjaan.
Tegas G25, pendekatan punitif itu bakal memberi kesan negatif kepada imej negara dan merugikan memandangkan bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang paling banyak digunakan di dunia.
"Walaupun G25 menyokong peranan dan kepentingan bahasa Melayu untuk mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu antara pelbagai kaum yang membentuk negara, perlu ada juga pengiktirafan terhadap kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa universal masyarakat antarabangsa dalam banyak aspek kehidupan seharian.
"Malaysia akan mengalami banyak kerugian jika terdapat tindakan hukuman terhadap mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam kerja rasmi mereka di jabatan kerajaan kerana terdapat banyak bidang, di mana penjawat awam mungkin perlu berkomunikasi dan menyatakan diri mereka dalam bahasa Inggeris untuk mendapatkan pemahaman yang sama tentang masalah tersebut dan isu yang mereka hadapi.
"Sebagai contoh dalam membincangkan tentang virus COVID-19, pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menganalisis krisis kesihatan dengan lebih baik menggunakan bahasa Inggeris kerana itu adalah bahasa WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).
"Begitu juga, dalam menganalisis isu ekonomi yang dihadapi negara, pegawai kita di agensi perancangan pusat boleh memahami satu sama lain dengan lebih baik jika mereka menggunakan bahasa Inggeris kerana itu bahasa IMF, Bank Dunia dan institut penyelidikan ekonomi, termasuk di Malaysia," kata G25 dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, G25 turut mempersoalkan sekiranya tindakan punitif dilaksanakan dengan tegas dalam perkhidmatan awam, bagaimanakah pegawai-pegawai akan menjalankan kerja mereka?
Tambah G25 lagi, faktor ketakutan akan membawa kepada kerumitan dalam menjalankan mesyuarat dan menulis kertas kerja dasar berhubung masalah yang dihadapi negara.
"Penyertaan dalam persidangan akan terjejas, terutamanya persidangan antarabangsa.
"Penganjur dan penaja juga akan rugi dari segi kewangan. Tetapi potensi kehilangan pengetahuan dan kebijaksanaan yang diperoleh daripada persidangan-persidangan ini adalah yang paling ketara akan melanda kita.
"Pendekatan zalim sebegini ke arah menghukum penggunaan bahasa Inggeris dalam sektor awam juga akan kelihatan hipokrit kerana anak-anak orang kaya dan berkuasa kebanyakannya adalah produk sekolah dan universiti antarabangsa.
"Bahasa Inggeris menghasilkan pelajar yang akan memasuki universiti seperti di Britain, Amerika Syarikat (AS), Australia dan New Zealand. Ini termasuk program Sarjana di negara bukan berbahasa Inggeris seperti Jerman, Perancis dan Jepun yang secara khusus dijalankan dalam bahasa Inggeris," ujar G25.
Kata G25 lagi, sekiranya langkah-langkah hukuman dan pembetulan terhadap penggunaan bahasa Inggeris secara berlebihan dilaksanakan, ia akan menimbulkan persoalan sama ada kerajaan cuba mengubah arah aliran moden dalam masyarakat Malaysia demi kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Kami percaya tindakan punitif sebegitu akan dilihat sebagai langkah regresif dan akan meletakkan Malaysia dalam pandangan buruk di mata warga asing dan pelabur antarabangsa," tambah G25.
Terdahulu media melaporkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan itu.
Katanya, tindakan korektif dan punitif, selain teguran berdasarkan audit bahasa itu bukan bertujuan menakut-nakutkan, sebaliknya bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya sewenang-wenangnya.
#Bahasa Melayu
#ismail sabri yaakob
#G25 kritik penggunaan bahasa Melayu
#berita Malaysia
#tindakan punitif
#zalim