Bahasa Melayu beri kesamarataan, rasa kebersamaan - Bakal calon Presiden Indonesia
Hasimi Muhamad
Oktober 11, 2023 18:43 MYT
Oktober 11, 2023 18:43 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan bahasa Melayu disifatkan berjaya memberikan kesamarataan dan rasa kebersamaan dalam kalangan penduduk di Asia Tenggara termasuk di negara berbilang etnik seperti Malaysia dan Indonesia.
Bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, kebolehan masyarakat Melayu di rantau ini untuk membentuk 'gotong-royong', menjalin kerjasama serta memahami batasan perbezaan juga menjadikan ia sesuatu yang unik, khususnya dalam masa depan Tamadun Alam Melayu.
Mengambil contoh di Indonesia, beliau berkata republik itu memiliki lebih 400 kumpulan etnik dan 700 bahasa lisan yang berbeza tetapi negara itu memutuskan untuk memiliki satu bahasa bersama iaitu bahasa Melayu.
"... dan bahasa umum yang diterima pakai ialah bahasa Melayu, dan jika anda bercakap tentang bilangan penutur bahasa Melayu, ia bukanlah majoriti (di Indonesia).
"Majoriti penutur dari segi kumpulan etnik ialah orang Jepun. Tetapi orang Jepun tidak mendesak agar bahasanya menjadi bahasa kebangsaan Indonesia.
"Pertemuan pada tahun 1928, 70 tahun sebelum merdeka dan kita tidak menjangkakan bahawa kemerdekaan akan datang, (mungkin) masih jauh tetapi kita perlu tampil dengan pembolehubah yang menyatukan (bahasa rasmi), dan (kemudian) bahasa Melayu (Indonesia) diangkat.
"Ini kerana, bahasa Melayu memberikan perasaan kesamarataan dan rasa kebersamaan. Kami bersyukur dengan keputusan tersebut (mengangkat bahasa Melayu)," katanya ketika berucap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.
Bahasa Melayu digunakan di beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand, serta komuniti-komuniti Melayu di negara-negara lain di Asia Tenggara, dengan bilangan penutur dianggarkan sekitar 18 juta.
Mengulas lanjut, bakal calon Presiden Indonesia di bawah Koalisi Perubahan untuk Persatuan (KPP) itu berkata, Indonesia dan Malaysia harus semakin menguatkan kerja sama kolaboratif melibatkan kedua-dua negara.
Selain itu, Anies menambah Indonesia-Malaysia juga harus mempelawa kerjasama di peringkat rantau, dengan pelbagai matlamat dan perpaduan agar boleh mencapai kejayaan bersama.
Sementara itu, Anies yang juga bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia berkata, pendidikan di universiti Islam di Asia Tenggara disifatkan berjaya menggabungkan pengajaran tradisional dengan sistem pengajaran moden, sehingga melahirkan para pemimpin dan memberi sumbangan yang signifikan termasuk ekonomi Islam.
Selari dengan perubahan dunia yang sangat cepat, beliau berkata pembaharuan dalam bidang kurikulum wajar dilakukan seperti menggabungkan ilmu pengetahuan dan teknologi dengan prinsip dasar Islam.
Pemilihan Umum Presiden Indonesia 2024, setakat ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Anies yang juga daripada Parti NasDem; calon Gabungan Indonesia Maju, Prabowo Subianto; dan calon Gabungan Pro-Ganjar, Ganjar Pranowo.