Bahasa kolokial, etnik perlu dipertahankan
Bernama
Julai 13, 2023 14:06 MYT
Julai 13, 2023 14:06 MYT
KUANTAN: Bahasa kolokial iaitu bahasa yang bersifat percakapan atau bahasa basahan (bukan bahasa baku) dan bahasa etnik merupakan khazanah negara yang perlu terus dipelihara dan dimartabatkan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bahasa tersebut merupakan sebahagian daripada seni dan budaya pelbagai masyarakat Malaysia yang penggunaannya melambangkan jati diri selain sebagai lambang perpaduan.
"Cabaran kita adalah bahasa seperti ini tidak mungkin digunakan ramai golongan muda kerana banyak menggunakan bahasa rojak...ini yang menjadi cabaran kita dan kita mahu selamatkan bahasa seperti ini sebagai warisan kita," katanya.
Aaron berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Bicara Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti yang bertemakan 'Menghilir Sungai Pahang' di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Arkib Negara juga, menurut Aaron, memainkan peranan penting sebagai pusat pengumpulan sumber rujukan mengenai bahasa selain bertindak mengesan dan mengetengahkan ahli akademik atau individu yang aktif memperjuangkan bahasa kolokial dan bahasa etnik.
Beliau berharap lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil bekerjasama dan menyokong usaha Arkib Negara, yang berperanan sebagai pusat pengumpulan sumber rujukan mengenai bahasa.
-- BERNAMA