Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM: Perkasa sokong, Jati tentang

Astro Awani
September 7, 2013 06:23 MYT
Cadangan Kementerian Pendidikan mewajibkan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris pada 2016 mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), laporan The Malaysianinsider.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hasan Syed Ali dipetik sebagai berkata pelajar Melayu perlu menguasai subjek Bahasa Inggeris kerana pengabaian terhadap subjek itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tempat di universiti.
"Pelaksanaan ini penting kerana seseorang pelajar itu kelak akan sukar mendapat peluang pekerjaan yang baik sekiranya gagal menguasai bahasa Inggeris meskipun mereka memiliki ijazah.
"Maka Perkasa amat mengalu-alaukan cadangan Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris dalam SPM," katanya.
Namun sebuah NGO Melayu, Jalur Tiga (Jati) menentang cadangan tersebut dan meminta meminta Kementerian Pendidikan mengkaji semula pelaksanaan itu berikutan tempohnya terlalu singkat bagi pihak yang terlibat untuk membuat persediaan.
Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali dilaporkan menggesa kerajaan mengkaji semula dasar tersebut kerana Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan majoriti kaum Melayu
Dr Hasan juga dipetik sebagai berkata pelajar Melayu akan terkorban dengan pelaksanaan dasar ini dan semua perkara yang diputuskan perlu memberi kepetingan kepada semua kaum terutamanya anak-anak Melayu.
“Saya melihat keputusan kerajaan ini belum muktamad dan boleh dikaji semula. Tahun 2016 sudah terlalu hampir. Pastinya ramai yang masih belum bersedia seperti anak nelayan dan petani, ibu bapa serta guru sekolah.
“Akhirnya, pelajar Melayu sendiri yang terkorban dengan pelaksanaan dasar ini. Setiap perkara yang diputuskan perlu memberi kepentingan kepada semua kaum terutamanya anak-anak Melayu.
“Bayangkan jika Bahasa Melayu diwajibkan sebagai salah satu kriteria kemasukan dalam jawatan di peringkat kerajaan mahu pun swasta, pastinya mereka juga akan terkesan dengan pelaksanaan peraturan sedemikian," katanya.
Menteri Pendidikan,Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan PPPM bagi tempoh 2013 hingga 2025 pada Jumaat berkata Kementerian Pendidikan juga akan terus memartabatkan bahasa Melayu dan memberi perhatian utama terhadap bahasa Inggeris yang akan dijadikan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus menjelang tahun 2016.
"Saya sedang teliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah yang sudah pun satu sesi dan 1,600 sekolah dua sesi akan dijadikan satu sesi maka tempoh persekolahan boleh dilanjutkan umpamanya tambah satu dua jam lagi.
"Itu boleh digunakan untuk tambah contact hour untuk pendedahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau pun bahasa lain di seluruh negara," katanya.
Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa itu, Muhyiddin berkata pelan itu menggariskan beberapa inisiatif antaranya menambah baik Kurikulum Bahasa Melayu di SJK.
#bahasa Inggeris #Jati #perkasa. sokong #SPM #tentang #wajib lulus