Bahasa Inggeris mungkin jadi wajib lulus pada 2016

Astro Awani
Mac 8, 2013 10:04 MYT
Bahasa Inggeris berkemungkinan besar akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran berkata langkah ini seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
Katanya perkara itu sedang diperhalus kementerian pelajaran dan pelaksanaannya kelak diharap akan menurunkan peratusan pelajar yang gagal mata pelajaran berkenaan dalam SPM.
Pelan pembangunan pendidikan Malaysia akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu atau fasa persediaan pada 2012 hingga 2015, gelombang kedua iaitu pelaksanaan pada 2016 hingga 2020 dan gelombang ketiga, pentaksiran pada 2021 hingga 2025.
“"Kalau ikut kurikulum yang sedia ada, ada lebih kurang 20 peratus pelajar kita yang gagal bahasa Inggeris, tapi saya yakin bila kita perkenalkan syarat wajib ini maka peratusan itu akan menurun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Memperkukuhkan Literasi dan Penguasaan Bahasa Inggeris' peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa di sini hari ini.
Muhyiddin berkata dalam gelombang pertama pelan berkenaan, kementerian akan melatih seramai 61,000 guru bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah dalam usaha meningkatkan penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris.
Guru terlibat akan terus dilatih bagi melahirkan guru pakar yang lebih mahir.
#2016 #bahasa Inggeris #SPM #Tan Sri Muhyiddin Yassin #wajib lulus