Bahas kepentingan rakyat dan negara, bukan maki hamun atau tabur fitnah - Agong
Firdaus Azil
Februari 3, 2025 10:50 MYT
Februari 3, 2025 10:50 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk mengutamakan perbahasan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Baginda bertitah, Parlimen adalah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal, dan medan semak dan imbang atau “check and balance” ke atas pentadbiran negara.
Tegas Baginda lagi, Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah.
"Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara, dan bukannya agen perpecahan rakyat.
“Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu, dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Baginda lagi, sempena sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas di Parlimen, pada Isnin.
Dalam pada itu, Baginda bertitah, dalam persidangan dewan pada tahun lalu, ahli-ahli Dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.
“Namun begitu, masih ada juga segelintir ahli yang sukar untuk membuang tabiat lama. tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut, kerana saya percaya, setiap ahli sedar dan tahu, bagaimana untuk menjaga tingkah-laku masing-masing.
“Saya juga menghargai peranan yang telah dimainkan oleh semua pemimpin dalam mengekalkan kestabilan politik, kerana ianya telah menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial negara,” titah Tuanku lagi.