Bahang kehangatan sambutan Pesta Ponggal kian dirasai

Bernama
Januari 13, 2023 05:40 MYT
Belanga tanah liat yang mendapat permintaan tinggi semasa musim perayaan Ponggal dijual pada harga RM10.90 hingga RM15.90. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Masyarakat Tamil kini rancak membuat persiapan dan begitu teruja untuk menyambut ketibaan pesta menuai Ponggal yang menandakan permulaan hidup baharu dan jatuh pada Ahad ini.
Mereka meraikan Ponggal pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil yang dikenali sebagai Thai dan ia merupakan satu perayaan penting khususnya bagi masyarakat petani.
Juadah nasi manis atau Ponggal yang disediakan menggunakan belanga tanah liat tradisional adalah hidangan wajib bagi sambutan perayaan itu untuk dipersembah kepada Dewa Matahari sebagai tanda penghargaan kerana memberikan hasil tuaian memuaskan.
Menurut Presiden Hindu Sangam Malaysia Ganesan Thangavellu, masa paling sesuai untuk menyediakan nasi manis ialah antara 7.26 hingga 11.26 pagi dan 2.30 hingga 5 petang.
"Bagaimanapun, adalah dinasihatkan agar nasi manis dimasak pada sebelah pagi dan tahun ini, masyarakat Tamil boleh meraikan pesta Ponggal secara besar-besaran bersama keluarga mereka memandangkan ia jatuh pada hari Ahad," katanya kepada Bernama.
Masyarakat Tamil akan menyediakan nasi manis serta berterima kasih kepada Surya Bhagavan (Dewa Matahari) pada hari pertama yang dikenali sebagai Thai Ponggal dan hari selepas itu ialah Mattu Pongal yang didedikasikan untuk lembu manakala hari ketiga perayaan digelar sebagai Kanni Ponggal, yang menyaksikan anak gadis belum berkahwin berdoa untuk hidup bahagia serta mendapat suami yang baik.
Pesta itu sebenarnya bermula pada 14 Jan dengan sambutan Bhogi iaitu upacara menyalakan unggun api di mana orang ramai membakar barangan lama serta terbiar dan membersihkan rumah untuk melakukan transformasi selain menyambut permulaan kitaran baharu.
Sementara itu, Little India di Jalan Tengku Kelana, Klang dan Brickfields, Kuala Lumpur menyaksikan ramai etnik India membeli belanga tanah liat pelbagai bentuk serta warna, susu, tebu dan daun kunyit untuk menyambut pesta Ponggal.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan barangan itu dijual pada harga berpatutan meskipun terdapat sedikit kenaikan berbanding tahun lepas.
Belanga tanah liat yang mendapat permintaan tinggi semasa musim perayaan Ponggal dijual pada harga RM10.90 hingga RM15.90.
Selain itu, masyarakat India tidak sabar untuk meraikan kegembiraan berganda pada pesta Ponggal tahun ini kerana filem dua nama besar dalam industi Kollywood iaitu Ajith Kumar dan 'Thalapathy' Vijay bakal ditayangkan di pawagam iaitu 'Thunivu' dan 'Varisu' sempena sambutan perayaan tersebut.
Pertembungan dramatik dua ikon layar perak Tamil itu selepas lapan tahun sering menjadi topik perbincangan dan media sosial sibuk membicarakannya sejak filem mereka menemui penonton Rabu lepas.
-- BERNAMA
#Pesta Ponggal #masyarakat tamil #nasi manis #Ganesan Thangavellu
;