Bahana hakisan ancam kedai popular Ikan Celup Tepung Terengganu

Sharom Abu Bakar
Disember 18, 2017 06:19 MYT
Mohd Nong berkata lazimnya warung yang dibuka sejak 20 tahun lalu mampu menjual kira-kira 70 kilogram makanan laut seperti sotong sehari. - Foto Astro AWANI
“Siri insiden ombak besar dan tanah runtuh sejak 20 tahun lalu tidak pernah jadi masalah, tetapi kini ia semakin buruk. Habis kedai musnah, pelanggan pula tidak datang.”
Itu antara rungutan peniaga Ikan Celup Tepung (ICT) yang cukup popular sekitar Kampung Kolam, Batu Rakit Terengganu.
Mereka kini gusar kedai yang diusahakan semakin terancam akibat hakisan yang semakin parah.
“Dari segi pelanggan memang kurang. Ini kerana dari mulut ke mulut, pelanggan was-was untuk datang. Maklumlah, kedai tepi pantai, mungkin terkena ombak besar, jadi mereka (pelanggan) fikir kedai tutup,’’ kata Mohd Nong Awang.
Beliau yang mengusahakan Warung Pak Nong ICT berkata, memburukkan keadaan, kejadian tanah runtuh akibat daripada hakisan di mana pelanggan terus menjauhi warung-warung menyediakan juadah popular di Terengganu itu.
Sementara itu tinjauan turut mendapati sebahagian jalan yang menjadi laluan utama penduduk runtuh dihanyutkan ombak.
Keadaan itu juga hanya memisahkan kira-kira 30 meter dari Warung Pak Nong ICT.
“Mungkin kerana situasi ini pelanggan tidak dapat berkunjung ke warung saya, tetapi keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.” ujar beliau semasa ditemui di kedainya semalam.
Menurutnya sejak seminggu lepas hakisan itu semakin merebak dan fenomena air pasang besar pada Ahad juga menyebabkan sebahagian jalan utama kampung berkenaan runtuh.
Mohd Nong berkata lazimnya warung yang dibuka sejak 20 tahun lalu mampu menjual kira-kira 70 kilogram sotong sehari.
“Namun, sejak hakisan, hanya 40 kilogram sotong saja terjual. Begitu juga ikan dan udang, kadar jualannya juga berkurangan.’’
Warung Pok Nong ICT juga menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara serta menjadi destinasi wajib singgah jika berkunjung ke Terengganu.
ICT diangkat oleh Jabatan Pelancongan Terengganu sebagai antara imej hidangan makanan laut popular di negeri itu.
#hakisan #Ikan Celup Tepung #pelancongan #tanah runtuh #terengganu
;