Bahan tercemar dikesan dibuang di Loji Rawatan Kumbahan di Taman Velok, Rawang

Fareez Azman
November 10, 2020 18:52 MYT
Pegawai-pegawai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengadakan pemeriksaan di kawasan perindustrian di Taman Velox, Rawang pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
RAWANG: Punca pencemaran air di Sungai Selangor dikesan di kawasan perindustrian di Taman Velox, di sini.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Zaini Ujang, pihaknya percaya bahan tercemar itu dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab di Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di kawasan itu.
Pegawai-pegawai kementerian, kata beliau, sudah mengenal pasti punca pencemaran selain sedang berusaha menutup loji tersebut sepenuhnya serta membuang cecair berwarna merah yang dihasilkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Loji kumbahan IWK hanyalah merawat air kumbahan daripada kawasan perumahan dan cecair industri tidak boleh dirawat secara berasingan, bukan dimasukkan dalam lurah akhirnya masuk ke dalam loji ini.
"Loji tidak dapat merawat air kerana berlaku pelanggaran loji mereka (Syarikat Pengurusan Air Negara) telah dicerobohi. Jadi yang salah adalah mereka yang buang kesan industri dalam sistem pembentungan," katanya.
BACA: 1,279 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air bermula 6 petang ini
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya berjaya memerangkap bahan tercemar berkenaan dan kerja-kerja membersihkan loji itu sedang giat dijalankan.
"Kita dapat memerangkap bahan industri tersebut, apa yang akan kita buat petang ini (ialah) kita akan tutup loji sepenuhnya dan keluarkan air berwarna merah itu daripada loji ini.
"Saya sudah arahkan semua air itu dikeringkan malam ini juga dan dihantar ke loji lain untuk dirawat. Kita tutup punca pencemaran ini," jelas Zaini lagi.
BACA: Pencemaran bau: Loji Rawatan Air Rantau Panjang henti tugas
#pencemaran air #bahan tercemar #kawasan perindustrian #Taman Velox #Rawang #Kementerian Alam Sekitar dan Air #loji kumbahan #Indah Water Konsortium #Lembaga Urus Air Selangor #LUAS
;