Bahan tanpa kelulusan: Bekas pemegang francais Chatime Malaysia jawab dakwaan La Kaffa
Agensi
Februari 7, 2017 10:17 MYT
Februari 7, 2017 10:17 MYT
Bekas pemegang francais untuk jenama minuman the Chatime Malaysia, Loob Holding, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pemilik francais dari Taiwan, La Kaffa, mengenai pembatalan perjanjian antara mereka.
Portal berita Channel News Asia melaporkan, dakwaan itu disifatkan Loob sebagai ‘tidak benar dan berniat jahat’.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan palsu dan berniat jahat oleh La Kaffa dalam kenyataan media pada 3 Februari 2017,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dakwaan bahawa Loob menggunakan bahan mentah yang bukan sebahagian daripada resipi yang diluluskan, telah disalah tafsir.
“Dakwaan tentang ‘bahan mentah’ yang digunakan ‘tanpa mengikut resipi yang diluluskan’ memberi tanggapan bahawa kualiti produk Chatime di Malaysia telah dikompromi.
“Semua ini tidak benar, Ini bukan sebahagian daripada pertelagahan dengan La Kaffa,” ujarnya.
La Kaffa telah membatalkan perjanjian dengan Loob bulan lalu dan menyatakan ia akan mengambil alih operasi bisnes dan pembangunan Chatime Malaysia serta-merta berikutan ketidaksefahaman hala tuju perniagaan.
Sementara itu, berkenaan dakwaan ‘pembayaran tertunggak’, menurut Loo, jika ada jumlah seperti yang dikatakan, ia tentunya akan dilunaskan.
"Syarikat telah membuat pelaburan awal untuk mendapat pegangan francais 30 tahun yang berakhir pada tahun 2041.
“Ini adalah bukti bahawa syarikat kami mempunyai komitmen francais jangka panjang. Syarikat juga tidak akan bertindak sesuatu yang menjejaskan pelaburan,” ujar Loo.