Bahan kimia tumpah, pekerja kilang alami pedih mata, pening, muntah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 28, 2024 09:45 MYT
Jurucakap JBPM Kedah berkata, tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite dianggarkan sebanyak 60 liter dan tindakan nyah cemar dilakukan di lokasi menggunakan air. - Foto JBPM Kedah
Seorang pekerja pengsan, manakala 16 yang lain mengalami pedih mata dan pening kepala serta muntah akibat terhidu tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, di sini, petang semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian di kilang pembuatan sarung tangan getah itu pada 3.04 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani diketuai Yazid Ismail bersama 16 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setiba di lokasi, didapati 17 mangsa dilaporkan terkesan akibat kejadian itu. Seorang dilaporkan pengsan dan 16 lagi mengalami pedih mata dan pening kepala.
"Jumlah itu membabitkan 15 wanita dan dua lelaki dipercayai pekerja kilang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, mangsa yang pengsan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, manakala tiga mangsa yang mengalami pedih mata dihantar ke klinik berhampiran oleh pihak kilang.
Sementara itu, enam lagi mangsa dihantar oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke hospital selepas mengadu pening kepala dan pedih mata.
"Pasukan Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Kulim Hi-Tech kemudian dimaklumkan berhubung kejadian itu.
"Tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite itu dianggarkan berlaku sebanyak 60 liter dan tindakan nyah cemar dilakukan di lokasi menggunakan air," katanya.
Dalam pada itu, katanya, tujuh lagi mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada 5.23 petang bagi pemeriksaan susulan berikutan pedih mata dan pening kepala
"Operasi tamat pada 5.48 petang," katanya.
#pekerja kilang #bahan kimia tumpah #JBPM Kedah
;