Bahan kimia: Tiba masanya premis industri tidak berdaftar ditutup - Aktivis
Fareez Azman
Februari 3, 2021 18:49 MYT
Februari 3, 2021 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Penemuan 19 tong berisi bahan kimia di tanah rizab Sungai Langat berhampiran Taman Reko, Kajang membuka mata semua pihak dalam usaha menyelesaikan isu pencemaran air sungai di Selangor sehingga memberi kesan kepada penduduk di Lembah Klang.
Menurut aktivis Alam Sekitar, Amlir Ayat, sudah tiba masanya penguatkuasaan secara lebih tegas dilakukan oleh pihak berkuasa terutamanya dengan mengenal pasti premis industri tidak berdaftar.
"Langkah pertama ialah pihak berwajib memantau setiap premis perindustrian adakah berdaftar atau tidak, kalau tidak berdaftar tindakan tutup perlu dikenakan dan hanya dibuka selepas berdaftar.
"Kedua, pihak industri berdaftar juga perlu pastikan mereka mempunyai kemudahan atau prasarana rawatan sisa mencukupi atau yang boleh patuh kepada undang-undang sedia ada.
"Mesti juga ada pemantuan, pastikan bahawa mereka menggunakan prasarana tersebut dan prasarana itu sentiasa diselenggara. Saya tahu banyak prasarana ini tidak boleh digunakan atau rosak sehingga boleh mengakibatkan pencemaran teruk. Ia pernah berlaku sehingga menyebabkan loji rawatan air ditutup," katanya.
Ujar Amlir lagi, isu kos pengurusan sisa terjadual juga antara masalah utama yang dihadapi oleh rata-rata premis industri apabila berdepan dengan kemerosotan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Waktu ini adalah waktu mencabar, banyak industri ingin menjimatkan kos untuk menghantar bahan toksik untuk diuruskan pihak sepatutnya seperti Kualiti Alam.
"Kalau nak hantar ke Kualiti Alam untuk dirawat (sisa terjadual) kosnya terlampau tinggi, mungkin mencecah puluhan atau ratusan ribu, jadi (pelaku) mereka terpaksa jimatkan kos dengan membuang secara haram.
"Isu ini perlu ditangani bersama pihak kerajaan negeri dan industri sepertimana disebut saya dulu, adalah bagus jikalau pihak kerajaan negeri atau Air Selangor berbincang dengan pihak industri," katanya lagi.
Terdahulu, 19 tong berisi bahan kimia ditemui di tanah rizab Sungai Langat berhampiran Taman Reko, Kajang pada Selasa.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, siasatan awal mendapati bahan kimia terbabit telah dibuang di kawasan itu dipercayai sejak tiga hari lalu.
Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan untuk mengesan dalang yang membuang sisa terjadual itu.
#Kajang
#loji rawatan air
#industri
#kilang
#pencemaran air
#bahan kimia
#sisa terjadual
#pembuangan bahan kimia
#Taman Reko
#Kerajaan Negeri Selangor
#pelupusan
#Rawatan sisa terjadual