Bahan kimia 'phthalates' dalam plastik pembungkus makanan tidak bahaya
Astro Awani
November 14, 2019 18:46 MYT
November 14, 2019 18:46 MYT
Kementerian Kesihatan mengesahkan penggunaan bahan kimia phthalates dari plastik ke makanan adalah pada tahap yang tidak membahayakan kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan menjelaskan, berdasarkan hasil pemantauan yang dijalankan pada 2017 hingga kini ke atas 130 sampel makanan mendapati tiada bahan kimia phthalate dalam sampel tersebut.
"Pemantauan yang dijalankan turut mendapati bahan pembungkus makanan yang terdapat di pasaran adalah selamat.
"KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memantau bahan pembungkus plastik makanan yang digunakan di pasaran tempatan dan sentiasa mengikuti perkembangan saintifik di peringkat antarabangsa bagi memantau risiko terkini keselamatan makanan yang berpunca dari bahan pembungkus plastik," katanya.
Kenyataan tersebut sebagai mengulas laporan portal berita yang melaporkan bahan kimia phthalate yang digunakan untuk menghasilkan bahan pembungkus plastik didakwa boleh menyebabkan pelbagai kesan kesihatan seperti kanser, kerosakan hati, masalah reproduktif dan kecelaruan hormon.
Dalam pada itu, KKM turut menegaskan penggunaan bahan pembungkus yang berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan pengguna adalah dilarang di bawah Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Kegagalan untuk mematuhi peraturan tersebut merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.
Ujar Noor Hisham lagi, untuk maklumat orang awam, bekas dan bahan pembungkus makanan yang diperbuat dari plastik direka khusus berdasarkan sifat makanan.
"Terdapat tujuh jenis kategori plastik yang boleh dikenal pasti melalui Nombor Identifikasi Plastik (NIP) yang terdapat pada bahan pembungkus.
"Setiap jenis NIP mempunyai ciri khas untuk makanan sama ada panas, sejuk dan berminyak.
"Pengguna adalah dinasihatkan mengikut kaedah penggunaan plastik makanan yang betul seperti yang disarankan pada bahan pembungkus plastik," jelasnya.
#bahan kimia
#bahaya
#Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#pembungkus makanan
#phthalates
#plastik