Bahagian atas dewan sekolah musnah terbakar, kerugian dianggar RM300,000

Bernama
Oktober 29, 2016 20:53 MYT
Keadaan kebakaran di SMK St Teresa petang Sabtu.
Sebuah dewan sekolah menengah dua tingkat di sini musnah bahagian atasnya dalam satu kebakaran petang tadi.
Dewan Teresian, Sekolah Menengah Kebangsaan St Teresa itu yang sedang dinaik taraf bahagian siling dan bumbung turut menempatkan buku teks, PA sistem serta kerusi dan meja baharu bernilai RM200,000 yang disumbangkan oleh bekas pelajar sekolah berkenaan.
Pengetua SMK St Teresa, Mary John berkata sebelum ini pihaknya juga turut menempatkan kertas Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di dewan tersebut, bagaimanapun kertas peperiksaan itu telah dipindahkan berikutan kerja-kerja naik taraf tersebut.
"Kami anggarkan kerugian keseluruhan RM300,000" katanya ketika ditemui pemberita di sekolah tersebut hari ini.
Mary berkata bahagian bawah dewan tersebut merupakan bilik kakitangan namun dapat diselamatkan.
Tinjauan Bernama di lokasi kebakaran mendapati anggota bomba berdepan dengan tugas mencabar apabila runtuhan akibat kebakaran jatuh dan hampir mengenai anggota bomba.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.09 petang sebelum sepasukan 40 anggota dari tiga balai Kuching, Petra Jaya dan Batu Lintang digerakkan ke sekolah tersebut.
Katanya jentera pertama tiba kira-kira tujuh minit kemudian mendapati bahagian atas dewan tersebut sudah musnah terbakar 50 peratus.
"Kami berjaya kawal kebakaran dari merebak ke bangunan sebelah dan bahagian bawah dewan (bilik kakitangan) dalam tempoh 20 minit," katanya sambil menambah kebakaran dapat dikawal kira-kira 5.42 petang.
Ling Hii berkata operasi pemadaman menggunakan dua aliran, empat nozel serta dua 'dividing breeching' dan sumber air pili bomba dan 'Prime Mover Water Tanker'.
"Terdapat 'fireload' jenis kerusi plastik dan set sofa di dalam premis yang menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat," katanya.
Beliau berkata ketika ini kerja pemadaman peringkat 'overhaul' masih dijalankan. -- BERNAMA
#dewan sekolah #kebakaran #SMK St Teresa
;