Bahagia cara 'Abang Pikachu PD'
Ridauddin Daud
Ogos 10, 2023 06:30 MYT
Ogos 10, 2023 06:30 MYT
PORT DICKSON: Kegembiraan, kebahagiaan boleh datang dalam pelbagai cara.
Ada yang gembira memiliki banyak harta, rumah pun besar, kereta dan pakaian pula…serba-serbi mewah.
Ada pula bahagia hidup sederhana, sentiasa di samping keluarga, melihat anak membesar di depan mata.
Semua orang ada kisahnya dan ini cerita Abang Pikachu Port Dickson yang bahagia dengan caranya dan dunianya.
Topi keledar, motosikal, baju, kasut malah stokin pun, semuanya berwarna kuning, betul-betul mengikut warna watak kartun popular, Pikachu.
Tak panas ke pakai macam itu?
Itulah soalan pertama terpacul dari mulut penulis tatkala bertemu Mohd Saipol Nizam Bahrin, terkenal di Port Dickson dengan gelaran 'Abang Pikachu PD'.
Mana mungkin tidak berasa panas dengan memakai kostum itu namun demi senyuman dan tawa kanak-kanak, dia lupakan segala kepanasan itu.
"Bila masuk taman hantar order, budak-budak akan suka, lambai-lambai tangan. Hai Abang Pikachu.
"Seronok rasanya, Saya pun terhibur juga. Alhamdulillah.
"(Abang seronok bila nampak mereka seronok? Memang saya seronok, gembira sangat. Nak pakai benda ini pun panas juga, nak tak nak pakai juga untuk hiburkan budak-budak," katanya kepada Astro AWANI.
Lebih dua jam ‘menjelajah’ Port Dickson bersama Abang Pikachu, timbul rasa kagum dengan jiwa besar lelaki berusia 38 tahun itu.
Mana tidaknya, kru Astro AWANI yang memakai baju-T pun terasa panasnya, sudah pasti yang berkostum begitu, tiga, empat kali ganda bahangnya.
Rasa kagum terus menebal apabila anak sulung daripada empat beradik itu acap kali mengatakan, dia sanggup berpanas asalkan dapat buat orang lain gembira.
"Memang saya nak bagi mereka terhibur. Kadang ibu bapa pun terhibur juga, ambil gambar. Kadang mereka panggil, nak ambil gambar.
"Banyak orang ambil gambar, kadang ambil video. Atas motosikal pun mereka ambil video, gambar. Bagi saya, memang puas hatilah," ujarnya.
Mohd Saipol Nizam merupakan kakitangan awam, melakukan kerja p-hailing selepas habis kerja, setiap hari tanpa lelah.
Sabtu dan Ahad pula, dari pagi sampailah ke malam. Begitulah rutin hariannya saban hari dan segala wang diperoleh, disimpan sebaiknya.
"Saja simpan-simpan, mana tahu ada jodoh kan. Duit dah ada, tak perlu nak buat pinjaman bank lagi Kalau buat pinjaman bank, kena tunggu seminggu dua baru lulus.
"(Simpan duit untuk kahwin?)
"Untuk kahwin pun ada. Tengok kalau ada rezeki, pergi Haji, pergi Mekah, Insya-Allah, Kalau nama saya diseru, Insya-Allah saya pergi," katanya.
Selagi kudratnya ada, selagi itulah Mohd Saipol Nizam akan terus menyarung kostum kuning itu.
Menghiburkan, menggembirakan semuanya, itulah makna bahagia dari hati nurani Abang Pikachu Port Dickson.