'Bagi kami 5 tahun rencanakan kembali jentera pertanian negara'

Sinar Harian
Mei 29, 2023 22:45 MYT
Salahuddin dalam Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, pada Isnin. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub meminta rakyat agar memberi kerajaan tempoh lima tahun untuk memperkasakan kembali jentera pertanian negara seterusnya menjadi antara negara pengeluar dan pengeksport makanan.
Menurutnya, langkah itu secara langsung bertujuan memastikan Malaysia muncul kembali sebagai negara perindustrian sektor pertanian yang menjadi semakin penting dari segi keterjaminan makanan.
“Dengan kestabilan politik pada hari ini, bagi kami (tempoh) lima tahun, saya rasa kita akan dapat merencanakan kembali jentera pertanian kita ini untuk Malaysia, insya-ALLAH menjadi antara negara pengeluar dan pengeksport makanan, paling tidak pun dalam rantau Asia Selatan.
“Untuk kita muncul kembali sebagai negara perindustrian yang tidak meninggalkan sektor pertanian yang menjadi semakin penting dari segi keterjaminan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Town Hall Rakyat yang berlangsung di Kompleks Media Karangkraf, pada Isnin.
Salahuddin menjadi tetamu keempat dalam program yang dihoskan Azhar Sulaiman.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, setiap visi yang dilontarkan oleh Perdana Menteri itu perlu disambut dengan cepat.
Menurutnya, kolaborasi dengan pelbagai kementerian perlu dilakukan dan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu-isu rakyat terutamanya melibatkan keterjaminan makanan.
“Sebab itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Kita harus melihat Malaysia bergerak sebagai sebuah negara yang akhirnya esok mampu mewujudkan ‘self-sufficient level’ (tahap sara diri),” ujarnya. - Sinar Harian
#Salahuddin Ayub #kpdn #negara perindustrian sektor pertanian #negara pengeluar