Bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 ditemukan, polis kesan pemilik
Bernama
Mac 21, 2024 17:55 MYT
Mac 21, 2024 17:55 MYT
PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan menemukan sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini pagi semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan daripada pengawal keselamatan berusia 30-an itu semalam berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada 8 pagi.
Beliau berkata pemeriksaan polis mendapati bagasi itu berisi wang kertas RM10, RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 dan dipercayai tulen, bagaimanapun polis akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut Hussein, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
"Susulan itu, kita membuka kertas enkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Hussien meminta mana-mana individu yang tertinggal bagasi berisi wang berkenaan tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-7966 2222 dengan membawa bukti-bukti berkaitan.
"Jika tiada mana-mana kndividu yang menuntut wang ini, kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjutnya," katanya.
-- BERNAMA