Bagan Datoh daerah kecil baharu di Perak - Ahmad Zahid
Bernama
Januari 3, 2016 08:30 MYT
Januari 3, 2016 08:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengumumkan bahawa Bagan Datoh kini sebuah daerah kecil yang baharu di Perak.
Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata perkara itu telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
"Saya telah merafak sembah kepada Sultan dan dengan sokongan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Bagan Datoh menjadi daerah kecil dengan rasminya.
"Insya-Allah atas perkenan Sultan dan kerajaan Persekutuan, sesuatu yang lebih besar akan berlaku bagai 'bulan jatuh ke riba' dalam waktu terdekat," katanya ketika merasmikan Fiesta Bagan Datoh 'Kawah Sekampung' di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini.
Sebelum ini, Bagan Datoh hanyalah sebuah pekan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri yakin dengan status baharu itu, pembangunan dapat melonjak di Bagan Datoh.
Bagaimanapun, beliau mahukan pembangunan yang dikecapi di Bagan Datoh seiring serta seimbang dari segi fizikal dan rohani.
"Saya mahu Bagan Datoh maju seimbang dalam pembangunan, pendidikan, kerohanian dan pemikiran," katanya.
Mengenai Fiesta Bagan Datoh anjuran Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya yang dinaungi Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
"Saya larang beliau (Nurul Hidayah) adakan pesta ini kerana Karnival Air Bagan Datoh baru sahaja habis, saya tidak mahu rakyat asyik berpesta," katanya.
Namun, beliau memuji usaha penganjur kerana dapat menjayakan fiesta berkenaan tanpa menggunakan peruntukan Anggota Parlimen Bagan Datoh.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meminta penduduk Bagan Datoh supaya mengetepikan perbezaan ideologi politik, agama, bangsa, keturunan dan budaya, sebaliknya bersatu untuk terus memajukan lagi daerah kecil itu.
Terdahulu, Nurul Hidayah dalam ucapannya berkata fiesta itu, yang diadakan selepas 10 tahun, bertujuan memberi peluang kepada penduduk Bagan Datoh amnya dan warga Perak khasnya memanfaatkan cuti Tahun Baharu 2016 bersama-sama keluarga.
Fiesta Badan Datoh berlangsung selama empat hari mulai 31 Dis lepas sehingga esok. Pelbagai acara menarik diadakan termasuk Muay Thai, belon udara panas, pameran agensi dan jabatan kerajaan, ceramah agama, konsert dan gerai jualan.