Bagaimanakah orang Melayu kalau UMNO tiada, tanya Najib
Astro Awani
Disember 5, 2013 14:12 MYT
Disember 5, 2013 14:12 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta orang Melayu untuk membayangkan bagaimanakah agaknya nasib masa depan mereka sekiranya UMNO tidak lagi menunjangi kerajaan yang memerintah negara ini.
Presiden UMNO itu berkata parti tersebut selama ini telah memperjuangkan hak kepentingan orang Melayu dan kesungguhan itu tidak boleh mereka harapkan daripada mana-mana parti lain yang ada di negara ini.
" Ke manalah orang-orang Melayu hendak membawa diri, jika UMNO sudah tiada lagi. Ke manalah perginya hati, ke mana hilangnya rasa, kalau perjuangan umat Melayu sudah tidak berkumandang lagi. Relakah kita perjuangan Melayu terhapus di bumi ini? Sanggupkah Melayu akhirnya merempat dan terbangsat di tanah sendiri?
"Saudara dan saudari, tanpa UMNO di manakah kita? Tanpa UMNO di mana sudahnya Melayu?" tanya beliau.
Najib melontarkan pertanyaan-pertanyaan itu dalam ucapan dasarnya yang bertajuk UMNO: Mewajah Masa Depan pada Perhimpunan Agung UMNO ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Dalam ucapannya, Najib mengingatkan bahawa segala perubahan yang disaksikan oleh negara ini bermula dengan kelahiran UMNO pada 1946 yang seterusnya membawa kepada kemerdekaan negara dan kemakmuran ekonomi.
Oleh itu, untuk mendepani cabaran masa depan, Najib mahu UMNO terus melakukan transformasi supaya ia jadi lebih kuat dan "terus jadi juara bagi tempoh 50 malahan 100 tahun akan datang".
Beliau kemudiannya menggariskan lima perkara yang perlu dilakukan oleh UMNO untuk melaksanakan perubahan politik dan negara itu.
Pertama, memperteguhkan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera kerana katanya, apa guna negara ini maju tetapi rakyat majoritinya terpinggir dan tidak terbela.
Kedua, terus mengukuhkan kemuliaan agama Islam di negara ini dan beliau melaungkan ikrar "selagi hayat dikandung jasad, bercerai nyawa dari badan, Islam akan terus UMNO junjung".
Ketiga, menyusun barisan pemimpin pelapis yang akan mewarisi dan meneruskan perjuangan UMNO.
Keempat, menyiapkan jentera perubahan yang mengusai medium baru teknologi maklumat untuk mempertahankan dasar kerajaan dan melawan serangan parti pembangkang.
"Ingatlah, hakikatnya dalam dunia politik, selalunya persepsi lebih penting daripada realiti. Mahu tidak mahu, kita harus menanganinya," kata beliau.
Yang terakhir, Najib menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang harus dicapai oleh UMNO dalam pilihan raya umum ke-14 nanti di setiap bahagian dan negeri.
Dalam untuk melaksanakan pengisian transformasi itu, Najib mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya jangan malu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu sebaliknya yakin dan percaya "kita berada di landasan yang benar dan betul".
Ucapan dasar itu dibahaskan oleh perwakilan hari ini sebelum perbahasan diteruskan atas usul ekonomi, agama dan pendidikan sehingga Sabtu.